YAYASAN Bank Rakyat diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Foundation Of The Year (Banking)’ pada Majlis Sustainability & CSR Malaysia Awards 2022, hari ini. 


YAYASAN Bank Rakyat (YBR) diumumkan sebagai penerima anugerah Yayasan Terbaik Tahunan bagi kategori perbankan pada Majlis Sustainability & CSR Malaysia Awards 2022, hari ini. 


Penyerahan anugerah itu berlangsung di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.


Ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun kepada Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin yang mewakili Yayasan Bank Rakyat.


Anugerah oleh CSR Malaysia itu adalah berikutan inisiatif korporat sosial yang telah dijalankan oleh Yayasan Bank Rakyat sepanjang tahun 2021, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM19.92 juta.


Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, anugerah ini adalah pencapaian YBR dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun lalu.


“Dan diharap ia menjadi sumber inspirasibagi organisasi lain (Badan Bukan Kerajaan) untuk terus membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.


Syaiful Rizal dalam pada itu berkata, anugerah Yayasan Terbaik Tahunan bagi kategori perbankan itu turut mencerminkan komitmen YBR dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.


Menurutnya, penghormatan yang diberikan itu sedikit sebanyak membuktikan YBR menjadi salah satu agen perubahan dalam transformasi sosioekonomi Malaysia yang lebih mampan dan telus.


“YBR ingin mengucapkan terima kasih kepada Anggota Bank Rakyat, badan-badan kerajaan, rakan-rakan kerjasama strategik, badan berkeuntungan dan bukan berkeuntungan, termasuk pelanggan yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,”tambahnya.