SEORANG penjual ayam maut selepas terpelanting sejauh 50 meter, dirempuh sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Mulong, di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa Mohammad Syukrie Suludin, 29, disahkan maut di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan bedah siasat akan dilakukan pada pukul 8 malam di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dari arah Kota Bharu ke Ketereh untuk menghantar ayam proses, pada pukul 2 petang.
“Sampai di lokasi kejadian, mangsa telah dilanggar pemandu Toyota Vios yang disyaki masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan : Mekanik maut tercampak 20 meter dirempuh Hilux
Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak dari motosikal sejauh 50 meter manakala pemandu kereta terbabas ke kiri jalan sejauh 200 meter.
“Pemandu yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II mengalami cedera parah di kepala dan tengkuk,” ujarnya.
Jelasnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang tidak memotong kenderaan dengan cermat dan berhati-hati.
Katanya, kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

