PENERBIT Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi mengesahkan sudah menyerahkan surat tuntutan Letter of Demand (LOD) kepada YouTuber yang didakwa memfitnah filem terbitannya pada 11 Ogos lalu.

Saraleana yang juga Pengasas Bersama Zebra Studio berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber berkenaan.

“Kami memandang serius tuduhan dilemparkan oleh YouTuber terbabit yang jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu yang dikaitkan dengan unsur lucah dan memburukkan budaya Minangkabau.

“Tuduhan berkenaan nyata menghentam dan bukan mengkritik daripada sudut konstruktif. Jika memberi ulasan secara membina dan ilmiah, kami boleh terima, tiada masalah.

“Setakat ini, peguam sudah memaklumkan sudah menerima surat balasan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada peguam masing-masing.

“Itu sahaja yang boleh dikongsikan. Kes berada di peringkat awal proses mahkamah,” katanya ketika ditemui URTV, semalam.

Terdahulu, seorang YouTuber memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial dan menyifatkan filem Gadis Jolobu arahan CL Hor sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan bintang baharu, Ahirine Ahirudin menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos lalu.

Saraleana berkata, dia menafikan tidak boleh menerima kritikan atau ‘koyak’, sebaliknya hanya menuntut keadilan.

“Saya cuma mahukan keadilan. Saya bukan penerbit tiada etika dalam berkarya. Jika filem Gadis Jolobu berunsur lucah dan merosakkan adat Minangkabau, sudah tentu tidak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang mendapat PG13.

“Saya sedia maklum ada beberapa penerbit mengadu mengenai YouTuber berkenaan, tetapi tidak memanjangkan isu ke peringkat undang-undang.

“Saya tidak ‘koyak’, tetapi apa yang dilakukan lebih kepada memikirkan keadilan dan nasib penerbit baru lain sekiranya perkara sama berlaku kepada mereka.

“Sekiranya apa yang saya lakukan ini boleh membantu industri, saya terus cuba berjuang,” katanya.

Tambah Saraleana, tindakan diambil bukan disebabkan kutipan filem terjejas, sebaliknya karya terbabit menyasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Bercakap soal kutipan, kami memang tak fokus kutipan di Malaysia sajaja. Ini kerana, filem Gadis Jolobu lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Lagipun penonton tempatan belum sepenuhnya ke panggung. Malah, filem Gadis Jolobu juga tidak boleh disamakan dengan kutipan filem Mat Kilau yang lebih sensasi kerana filem kami mengangkat dialek Negeri Sembilan dan adat pepatih,” katanya.

Dalam pada itu, pengarahnya, CL Hor berkata, filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton di platform Over-The-Top (OTT), Get Play bermula 26 Ogos ini.

“Get Play adalah konsep terbaru yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.

“Secara ringkasnya, Get Play turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan karya tempatan ke seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya.