“SAYA terbaca kisah beberapa minggu lepas yang antara lain menasihatkan supaya ibu bapa, jiran tetangga dan sahabat handai janganlah cuba jadi penasihat kepada keluarga yang sedang menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Betul saya sokong seratus peratus. 

“Tetapi masalahnya bukan semua orang sama, ada orang memang tak suka orang lain campur tangan dalam masalah keluarga, tetapi  ada yang meminta supaya kita menasihat mereka. Jadi macam mana kita tak tolak.’’ Itu pertanyaan puan Naima kepada penulis ketika kami berbual baru-baru ini. 

“Saya ada empat orang anak semuanya perempuan, yang sulung dan yang kedua sudah pun berumahtangga dan sudah beranak pinak. Mereka berkahwin dalam usia masih muda. Habis belajar, dapat kerja, terus kahwin, sebab mereka sudah berkenalan sejak menuntut lagi. 

“Sebagai ibu bapa, saya dan suami terima dengan hati terbuka. Kami tak paksa supaya mereka kerja dulu. Kumpul duit dulu, lepas ada kenderaan sendiri tentulah lebih memudahkan mereka ke tempat kerja. Paling tidak kahwinlah selepas empat atau lima tahun lepas bekerja. 

“Mula-mula kahwin belum mengandung memang senang naik motor ke tempat kerja, tetapi bila dah hamil, dah beranak pinak tentu menyulitkan, sedangkan diri sendiri baru nak hidup. Tetapi kerana anak kita ikutkan. Bila dah susah, selalulah merungut macam mana nak beli kereta. Suami ada alasan. Kita faham ramai adik beradik masih belajar kena bantu. 

“Kerana kasihankan anak dan keselamatan cucu yang bakal lahir, saya gadaikan gelang untuk buat duit muka beli kereta. Peliknya tak mahu beli kereta kecil, terus nak yang 1.5. 

“Masa berlalu begitu pantas, anak dari satu tambah dua. Walaupun gaji bertambah, tanggungjawab meningkat sama. Masalahnya bila dah ada kereta, emak ayah di kampung berasa yakin gaji anaknya tentu banyak, ialah dulu naik motor dah kerja beli kereta, harapan mereka bertambah tinggi. 

“Masalah pertama pun terbit, adik beradik dan emak ayah mengharapkan anak membantu.  Kalau mula bekerja dulu bagi RM200 emak kata ok. Kini nak RM400 sebulan. Di samping nasihat, bahawa tanggungjawab anak lelaki yang pertama kepada ibu bapa dan adik berdik, barulah boleh fikirkan anak-anak dan isteri. Di sinilah bermulalah segalanya. 

“Ketika saya sibuk uruskan pertunangan dan perkahwinan anak kedua, masalah besar melanda keluarga. Maaf, bukan masalah saya, tetapi anak sulung saya. Masalah kewangan menyulitkan kehidupan dan diselang seli dengan pertengkaran yang menyakitkan jiwa. 

“Anak sulung saya panggil Kam, saya nasihatkan supaya cari jalan atasi masalah sendiri, tapi jawapan pendeknya, buntu. Suami ego tak makan nasihat, asyik kata tanggungjawab kepada ibu ayahnya serta adik beradiknya lebih utama daripada isteri. Saya tak nafikan. Tapi cuba Kam tanya suami, bagaimana tanggungjawab ayah kepada anak-anaknya sendiri? 

“Setelah beberapa bulan baru Kam beritahu. Kata suaminya `apa guna aku cari isteri bekerja, kalau tak boleh membantu?’ Kata Kam dia sudah banyak berkorban, siapa beli lampin bayi, susu anak, bayar duit pengasuh bayi semua dia ceritakan dari A sampai Z tapi dia tak mahu bercerita depan ayahnya, katanya orang lelaki tak faham. 

“Puas saya nasihatkan Kam bercerita dengan suaminya, tetapi tak jalan. Akhirnya Kam minta saya nasihatkan suaminya, saya ingatkan Kam saya tak mahu campur urusan mereka. Tetapi kali ini kerana Ridwan sedia mendengar, maka saya datang pada hari yang ditetapkan. 

“Memang susah nasihatkan orang merasa diri mereka terbaik. Tetapi dengan sedikit keterbukaan Ridwan, masalah yang sulit boleh diatasi jika mereka bersedia mendengar. Saya mulakan dengan menasihatnya menukar kereta yang dia guna sekarang, gunakan yang kecil aja. Sebab selain ansurannya sedikit, petrol pun kurang. Dia bantah, susah nak balik kampung, perjalanan jauh, nanti tak muat adik beradik ramai. 

“Di sini saya masuk jarum, kalau bayaran ansuran dan petrol kurang bolehlah balik kampung selalu. Adik beradik boleh naik bergilir gilir. Tapi katanya tentu emak ayahya terkejut, keretanya kecil. Nasihat saya Ridwan terpaksa ceritakan kenapa dia terpaksa  tukar kecil sebab tak mampu bayar duit ansuran kereta, road tax, petrol, sewa rumah dan sebagainya. 

“Ridwan terdiam bila saya tanya dia lagi sumbangannya membesarkan anak-anak. Oleh kerana dia terdiam, saya langsung nasihatkan bahawa tugas menyara makan minum anak-anak adalah tanggungjawab seorang ayah. Selepas anak-anak, isteri, baru kita utamakan makan minum ibu bapa, kemudian adik beradik. Semua itu mesti dilaksanakan dengan duit ringgit kita sendiri, bukan dengan menumpang kepada pendapatan isteri, kita. Tetapi jika isteri ikhlas membantu tanpa bersungut, itulah yang terbaik berbanding sebaliknya. 

“Ketika kami berbincang itulah Kam tunjukkan jumlah perbelanjaannya setiap bulan, berapa harga susu dan lampin untuk dua orang anak, bayaran pengasuh, makan minum mereka suami isteri, tak masuk lagi bil telefon dan bil utiliti yang Kam terpaksa tanggung setiap bulan. 

“Saya cuba tanya pandangan Rid, kalau perbelanjaan Kam sudah tinggi, tentu Rid pun tinggi juga. Bermakna dalam rumah kita memerlukan kerjasama suami isteri untuk mendapat kebahagiaan sewajarnya. Tak salah menghulur bantuan kepada yang memang tanggunjawab kita, tetapi jika dibuat dengan hati terbuka dan mendapat kefahaman suami isteri tentu boleh membahagiakan lagi sesebuah keluarga.’’ 

“Saya dapati Rid banyak mendiamkan diri, mungkin dia faham, mungkin juga sakit hati kerana campur tangan saya. Tetapi doa saya supaya dia boleh membaca senarai perbelanjaan Kam dan pertimbangkan pengorbanan isterinya, paling tidak sebagai ketua keluarga dia boleh berlaku adil dan tidak terlalu mengikut kehendak adik-beradik yang mungkin mengheret dia dalam persengketaan yang lebih mendalam. 

“Syukur, Alamdulillah,  usaha saya cuba selamatkan keluarga Rid dan Kam, keluarga anak menantu saya ini, berjaya juga. Saya lihat banyak perubahan dalam kehidupan keluarganya. Kalau dulu sebulan sekali mesti balik kampung, kini berkurang. Mungkin kerana kereta dah kecil. Atau keluaganya mula faham masalah kewangan Ridwan. Lega rasaya. 

“Tetapi berlainan pula dengan masalah anak kedua saya Zue. Walaupun Zue pujuk saya nasihatkan suaminya Jim, tetapi saya mengelak. Sebab saya lihat Jim, anak orang bandar ini, cara hidup dia memang berlainan sekali.  Dia bertindak banyak mengikut cita rasanya sendiri tanpa mengambil kira orang keliling.

“Dia bukan sahaja kurang bertanggungjawab terhadap keluarga sama seperti Rid, lebih teruk lagi tak pernah `makan nasihat” contoh kalau nak keluar rumah, tunggulah lepas maghrib. Ini tidak tengah orang azan itulah dia keluar, atau waktu itulah dia baru nak `cuci dan solek motor’. Dia tak peduli anak menangis dan dia takkan bantu  Zue di dapur untuk sediakan makan malam. 

“Kadang tu tengah azan itulah dia cuci motor sambil mendengar radio. Kalau ada kawan menjengah, lebih rancak lagi mereka berbual. Macam tak sedar waktu maghrib. Langsung tak hormat waktu, dahlah solat seminggu sekali pun susah.   

“Peliknya waktu belajar dulu kata Zue, dia baik, rajin solat. Tetapi selepas kahwin semuanya berubah. Nak kata gaji besar sangat sampai jadi orang sombong tu memang tak adalah. Tetapi macam mana dia boleh berubah . 

“Kerana keenggganan saya cuba mendekati dan menasihati Jim membuatkan  Zue marah, tuduh saya pilih kasih. Kenapa kes kak Kam saya sanggup nasihatkan suaminya, tetapi bila dia menghadapi masalah yang sama saya tidak mahu menasihatkan suaminya. 

“Saya cuba menasihati Zue, walaupun saya bukan bekas pelajar U seperti dia. Sebenarnya dari pengalaman saya, manusia mempunyai  perangai berbeza. Kita tak boleh samakan suami kita sama seperti lelaki lain yang luarannya kita lihat terlalu baik. 

“Hanya isteri sahaja yang faham dan kenal perangai suaminya yang sebenar, ibunya juga tidak pernah faham, sebab dengan orang luar, seseorang itu dia boleh berlakon jadi baik, berbanding dengan isteri yang lebih faham perangainya yang sebenar. 

 “Saya pernah nasihatkan Zue beli sahaja makanan siap masak di kedai sebelum balik, supaya dia tidak terlalu sibuk di dapur. Kerana ketika itulah anak-anak perlukan perhatian setelah seharian tak berjumpa ibu ayahnya. Tapi kata Zue, Jim tak suka. Dia lebih suka makan mee segera daripada makanan kedai. Tapi takkan nak makan mee segera setiap hari. 

“Masa berlalu begitu pantas, Jim tetap dengan perangainya. Saya nasihatkan Zue dapatkan nasihat pakar. Tetapi berakhir dengan menasihati Zue supaya bersabar. 

“Kata Zue kalau setakat nasihat supaya sabar, semua orang boleh nasihat. Tetapi sampai bila kita nak kena tanggung makan minum keluarga, sedangkan suami enjoy dengan kawannya, enjoy cantikkan motor. Betul dia bagi saya kereta, konon nak jadi suami prihatin, tetapi masalahnya telah menyusahkan hidup saya lagi. 

“Bayangkan kereta itu bukan percuma, saya kena sambung bayar ansuran bulanan. Itu belum masuk cukai jalan dan insuran. Kalau nak tunjuk baik pun, bukan sekerat jalan. 

“Adik-beradiknya kata saya bertuah abang bagi kereta untuk isteri. Tetapi dia tak tahu kereta tu datang dengan hutang ansuran tertungggak selama 8 bulan yang Zue kena bayar. Jim ingatkan lagi jangan lupa bayar nanti kereta kena tarik tengah jalan. Siap warning lagi. 

“Bayaran tertunggak itu tak masuk lagi ansuran bulanan yang Zue kena bayar. Kasihan memang kasihan dengan nasib anak saya ini. Kerana kesiankan Zue, saya tolong bayarkan ansuran tertunggak yang jumlahnya lebih RM5000. 

“Apa yang menakutkan saya bila suami beritahu, apa saya nak buat andai ditakdirkan bila tunggakkan habis dibayar, Jim jual kereta ini? Kereta atas nama dia dan dia berhak. Terkunci mulut saya, konon nak tolong anak, lain cerita pulak berlaku. Memang !Parah! Parah! 

“Dari awal suami saya ingatkan jangan bayar  ansuran tertunggak itu. Kalau nak tolong, belikan Zue kereta kecil. Guna RM5000 itu untuk duit muka. Tak pening bayaran ansuran tinggi, tak ada tunggakan dan segalanya murah, lebih penting kereta milik Zue. 

“Benar kata suami, tapi Zue suka kereta pemberian Jim konon. Tanpa fikir panjang risiko yang dia bakal hadapi. Dalam pada itu saya nasihatkan  Zue supaya lebih berhati-hati. Kena jimat berbelanja. Jika kurang duit minta pada Jim, jangan biarkan dia bebas tanpa menyara keluarga. Dan saya tak tahu sampai bila Zue boleh bersabar dengan masalah yang dilaluinya. 

Demikian antara lain singkatan cerita Naiima tentang masalah yang dihadapi oleh anak- anaknya. Nasihatkan salah, kalau tak dinasihatkan pun salah. Namun sebagai ibu, saya harap mereka dapat melalui kehidupan ini dengan lebih tenang dan berani hadapi apa juga cabaran untuk masa depan sendiri bersama anak anak. 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau ingin melahirkan masalah anda sila e mail [email protected]  atau [email protected]