PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri melawat Mara Digital Mall baru-baru ini.

HARAPAN tidak menjadi kenyataan. Inilah yang berlaku kepada perniagaan peralatan telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) Bumiputra di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur dan beberapa cawangan di bandar besar lain.

Matlamat mewujudkan pusat perniagaan Mara Digital Mall pada 2015 serta premis di negeri lain, ialah untuk memberi peluang kepada peniaga Bumiputra melibatkan diri dalam bidang bisnes yang masih dimonopoli oleh kaum lain.

Kejayaan pusat sama di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang, menjadi pemangkin kepada kewujudan Mara Digital Mall tersebut. Ia adalah hasil cetusan idea perdana menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, ketika itu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Harapan tinggi agar pusat telekomunikasi dan IT yang terletak di dalam Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman (JTAR) itu akan mencipta kejayaan sekurang-kurangnya menyamai kejayaan pusat sama di Plaza Low Yat, malah lebih baik.

Beberapa cawangan ditubuhkan di beberapa buah bandar, antaranya Kuantan, Johor Bahru dan Shah Alam dengan memikul harapan yang sama. Nampak kerajaan begitu bersungguh-sungguh dan komited dalam usaha melonjakkan Bumiputra seiring kaum lain dalam bisnes telekomunikasi dan IT.

Kerana perniagaan di Mara Digital Mall ini, dan di tempat lain, rata-rata dikendalikan oleh Bumiputra, maka menjadi harapan juga ia akan disokong oleh pelanggan Bumiputra, selain bangsa lain.

Di ibu negara, Majlis Amanah Rakyat (Mara), selaku antara penggerak sosio-ekonomi Bumiputra, mengorak langkah menyediakan ruang di dalam bangunannya sebagai pusat operasi niaga. Harapannya ia akan menjadi hub perniagaan yang membawa kejayaan kepada Bumiputra. Begitu juga harapan yang disandarkan di tempat lain.

Tentunya matlamat ini mampu dicapai seandainya perniagaan yang dijalankan terus hidup subur dan berkembang maju daripada detik penubuhannya. Namun sayangnya ini tidak berlaku. Kejayaan yang diharap masih jauh untuk dikejar.

Ambil contoh yang berlaku di Mara Digital Mall. Ia sedang melalui fasa suram setelah tujuh tahun beroperasi, sedangkan ia sepatut nya bertambah maju. Perniagaan merosot kerana jumlah pelanggan sangat berkurangan.

Bahana ini lebih terasa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan aktiviti ekonomi turut tidak bergerak. Perniagaan menjadi malap dan lembab.

BERITA BERKAITAN PM buat tinjauan mengejut, arah teruskan projek Mara Digital

Peniaga bertarung dengan kepayahan untuk bertahan. Premis perniagaan yang sunyi dan lengang ini berterusan sehingga kini. Menurut laporan, ada peniaga yang mengeluh hiba kerana perniagaan merosot teruk. Jika dahulu boleh dapat sehingga 10 orang pelanggan sehari, sekarang purata hanya seorang sehari.

Lebih menyedihkan, suramnya bisnes telekomunikasi dan IT Bumiputra ini terserlah apabila cawangan-cawangan menutup operasi kerana rugi. Pusat di Kuantan ditutup pada Disember 2018, diikuti oleh Shah Alam pada tahun sama. Cawangan Johor Bahru pula menutup operasi pada Februari 2019. Nyata begitu sukar dan berliku laluan dihadapi peniaga Bumiputra.

Yang mampu bertahan di Mara Digital Mall pun dalam keadaan ‘sakit’. Diharap sakit ini tidak sampai membawa maut seperti yang berlaku pada cawangan lain. Apa yang masih ada ini perlu dipertahan.

Kenapakah perniagaan telekomunikasi dan IT dikendalikan oleh Bumiputra kurang maju serta sukar bersaing dengan kaum lain? Mungkinkah ada pandangan negatif atau prasangka bahawa pusat perniagaan kendalian Bumiputra tidak berupaya memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan?

Tanggapan seperti ini, jika ada, bersifat prejudis kerana mereka yang menceburi bidang ini tentu sahaja tahu selok beloknya. Bukan setakat menjual peralatan telekomunikasi, tetapi mampu memberi khidmat nasihat atau memperbaiki peralatan rosak. Tiada beza dengan kemampuan premis perniagaan lain.

Namun untuk maju, peniaga Bumiputra perlukan sokongan, terutama daripada pelanggan Bumiputra. Datanglah untuk urusan telekomunikasi atau IT di premis niaga Bumiputra. Jika ramai menyokong, ia mampu meletakkan perniagaan pada landasan baik. Lama kelamaan akan menjadi semakin maju dan kukuh.

Satu perkara lagi, jangan abaikan aspek promosi. Promosi perlu untuk menghebahkan perniagaan atau perkhidmatan kerana dalam apa jua bisnes, promosi dan pengiklanan menjadi faktor penting menentukan maju mundur perniagaan berkenaan.

Di Mara Digital Mall misalnya, peniaga merungut kerana promosi kurang. Sepatutnya promosi berterusan dilaksanakan oleh pihak pengurusan. Mungkin ini menjadi punca masih ramai tidak sedar wujud sebuah hub telekomunukasi dan IT di dalam bangunan Mara walau pun ia terletak dalam persekitaran yang sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Pihak Mara perlu bertindak positif terhadap rungutan peniaga mengenai aspek promosi ini. Letaklah papan iklan di bangunan Mara itu sendiri, atau adakan festival telekomunikasi dan IT secara berkala di lokasi berkenaan.

Pada masa sama, peniaga juga harus berusaha membuat promosi sendiri melalui media sosial sebagai usaha tambahan menarik pelanggan. Jangan hanya serah kepada pengurusan.

Tidak kurang penting, peralatan telekomunikasi dan IT di premis perniagaan mestilah sentiasa terkini, begitu juga dengan perkhidmatan ditawarkan. Stok barangan mesti ada apabila diperlukan, baik peralatan terpakai atau baharu. Perkhidmatan yang diberi mesti memuaskan hati pelanggan agar mereka datang lagi.

Premis telekomunikasi dan IT kendalian Bumiputra, termasuk di Mara Digital Mall, mungkin mengambil masa untuk mencapai kejayaan seperti di Plaza Low Yat. Operasi di plaza tersebut lebih lama dan sudah terkenal di dalam dan luar Kuala Lumpur.

Namun usah biarkan ini mematahkan semangat. Kuatkan usaha untuk berjaya. Pelanggan Bumiputra pula bantulah peniaga telekomunikasi dan IT Bumiputra untuk maju jaya dengan memberi sokongan padu serta berterusan. Biar Bumiputra cemerlang sebagai peniaga, bukan hanya sebagai pekerja di kedai milik kaum lain.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram