KIRA-kira 8,000 pengunjung membanjiri ruang di pentas utama Paradigm Mall, Johor Bahru pada siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Setiap ruang enam tingkat pusat beli belah berkenaan dipenuhi pendengar stesen Suria FM sejak tengahari hingga ke akhir konsert yang menggandingkan bintang 90-an dan baharu popular.

Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid berkata, sokongan pendengar bukan saja dari tempatan tetapi juga dari Singapura yang memang menantikan jelajah ini.

“Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua pendengar yang hadir dan menyokong jelajah kami di JB. Kami semua memang terharu dengan sambutan hebat daripada semua.

“Pastinya Suria FM gembira kerana setiap lokasi jelajah kami mendapat sambutan padu bermula di Pahang dan Kedah.

“Sambutan peminat setia Suria FM di Selatan kali ini adalah yang paling hebat dan paling ramai pernah dicatatkan sejak penganjuran siri ‘Jelajah Suria’,” katanya.

Barisan penyampai radio Suria FM

Tambah DJ Lin yang juga penyampai segmen Suria Cinta berkata, jualan barangan eksklusif Suria di booth ‘Kedai Suria’ juga berjaya mengutip hampir RM20,000 sementara jumlah tontonan di platform digital Suria (Youtube Suria TV, Facebook Suria FM dan Aplikasi Suria Malaysia) pula mencatatkan lebih 150,000 tontonan sepanjang acara berlangsung.

Floor 88 turut hadir memeriahkan suasana

Jelajah Suria di JB juga menyaksikan gandingan menarik antara Nabila Razali dan Ringgo Arrow menerusi lagu Niat Hati Taknak Berpisah, Siti Nordiana bersama Floor 88 (Gurauan Berkasih) dan Fieya Julia juga Wan Lestari (Mahligaimu Dari Air Mataku).

Kemunculan Zamani mengamatkan lagi siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell

Kemunculan Zamani juga mendapat sambutan hangat dari penonton selain kumpulan Boboy, Dolla, Yonnyboii dan barisan BBNU serta buskers Ada Band.

Sementara itu, Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell bakal gegarkan IOI City Mall, Putrajaya Sabtu ini menampilkan artis antaranya, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Imsoniacks, Amir Uk’s, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Muss, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan ramai lagi.