KEUTAMAAN kerajaan tetap untuk memastikan bekalan ayam bagi kegunaan domestik adalah mencukupi terlebih dahulu.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama, pihaknya menerima pandangan daripada pihak industri bahawa eksport ayam perlu dipertimbangkan.

Sehubungan itu, beliau akan membuat suatu pemakluman berhubung langkah seterusnya, setelah Kabinet memutuskan dasar dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Cuma yang perlu saya sampaikan kepada masyarakat, kita mengekalkan dasar di mana harga ayam perlu terus dikawal dan juga keutamaan ke tahap kecukupan bekalan domestik kekal menjadi satu keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di ibu negara hari ini.
Menurut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, jumlah eksport sebelum ini melibatkan lima peratus daripada pengeluaran ayam di negara ini.
“Kita juga ambil maklum eksport ke Singapura adalah berdasarkan kuota yang terlebih dahulu ditetapkan kerajaan Singapura dengan ladang-ladang yang memperolehi ekreditasi juga membekalkan untuk pasaran eksport,” jelasnya.
Sementara itu, setakat ini, kata beliau, kerajaan menetapkan dasar, harga ayam dalam negara ditetapkan pada harga siling RM9.40 sekilogram sehingga 31 Ogos dan mengadakan kaedah memberi subsidi kepada penternak pada kadar RM1.20 bagi setiap sekilogram ayam dikeluarkan.
Katanya sehingga kini, RM888 juta bayaran dibuat kepada pengusaha dan mengambil kira semua perkara tersebut, pasukan khas itu akan membuat perakuan kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok berhubung dasar seterusnya, iaitu berkaitan harga maksimum ayam dan dasar melibatkan subsidi selepas 31 Ogos.
Pada masa sama, Annuar berkata pasukan khas itu perlu memberi perhatian kepada kebajikan industri penternakan ayam dan keseimbangan antara industri mapan, iaitu pengeluar terus aktif mengeluarkan sejumlah ayam dengan bilangan tertentu dengan keperluan domestik ketika ini memerlukan kira-kira 69 juta ayam setiap bulan.
“Untuk memastikan negara kita sentiasa mempunyai bekalan cukup (iaitu) kira-kira 69 juta ekor (ayam) sebulan, kita mengekalkan dasar membenarkan pengimportan ayam bulat, dasar itu masih dikekalkan, sementara dasar tidak membenarkan eksport buat masa ini juga akan hanya diputuskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri.
“Jadi perkara-perkara ini akan dibincangkan esok dengan jawatankuasa (pasukan khas), akan memaklumkan secara terperinci status dan kedudukan bekalan dan juga permintaan, serta kita telah pun selesai mendapatkan maklumat asas tentang bagaimana sektor pengeksportan ayam itu berlaku pada masa ini,” katanya.
Annuar berkata pasukan khas turut menerima pandangan daripada pemain industri, bahawa keperluan negara untuk mengeksport ayam merupakan suatu keperluan yang perlu dipertimbangkan.
Justeru, beliau berkata ekosistem bekalan, penawaran dan eksport ayam perlu diperbetulkan terlebih dahulu, sehingga negara mempunyai satu dasar lebih jelas serta kaedah kawalan lebih teratur, termasuk mempunyai dasar lebih jelas dan data lebih tepat bagi membolehkan keputusan selanjutnya dapat dilakukan.
“Jadi ini semua akan dibincangkan esok dan kita akan maklumkan selewat-lewatnya pada mesyuarat kita yang akan datang, minggu depan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pasukan khas itu akan mendapatkan maklum balas Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang akan menentukan harga purataminyak masak bagi Ogos, dan daripada maklumat tersebut, mereka akan melihat kepada penetapan harga maksimum minyak masak seperti diumumkan sebelum ini.

