peringatan Allah melalui alam
Foto kredit: MyWilayah.com

Barangkali kita pernah melihat bagaimana ciptaan Allah seperti pokok yang tumbuh membentuk seakan sedang bersujud atau melihat gumpalan awan yang membentuk seakan kalimah Allah. Malah ada banyak lagi penemuan aneh bersangkut dengan kalimah Allah dan Muhammad. Adakah keadaan tersebut menggambarkan bahawa alam sedang bersujud dan bertasbih?

Tidak” Menurut Perunding Emosi dan Sipiritual NLP Training, Dr. Azhar Sarip . Tambahnya, itu tandanya alam sedang memperingatkan kita yang alpa kepada Allah. Tanda sayang alam apabila manusia sudah semakin lupa kepada Allah lalu ia diberi kekuatan oleh Maha Pencipta untuk mengingatkan kita kepada Allah.

Mungkin kita penah dengar lagu Ebiet G Ade kalau tidak silap antara bait liriknya…

“Barangkali di sana ada jawabnya, mengapa di tanahku terjadi bencana. Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa. Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita. Cuba kita bertanya pada rumput yang bergoyang.”

Mungkin benar apa yang dinyanyikan oleh Ebiet G Ade itu. Mungkin alam sudah bosan dengan keangkuhan kita maka diberi petunjuk dengan kalimat Allah yang dibentang di langit, pandang gunung tertera ucapan memuji Allah.

Malangnya, manusia itu seperti tidak faham bahasa dan lupa berzikir apabila melihatnya. Kita hanya melihat dengan takjub dengan keagungan Allah, namun apa hasilnya yang dilakukan oleh manusia. Adakah manusia berubah selepas melihat itu semua. Masa mula-mula itu adalah terdetik di dalam hati dan mengingati Allah, tetapi hanya sementara kemudian cerita itu padam lalu langsung lupa untuk mengingati Allah.

Manusia wajib punya rasa cinta Allah

Nilai tasbih itu adalah nilai cinta kita kepada Allah, nilai rasa kita kepada Allah. Bukan diperkirakan banyaknya tasbih itu tetapi kualitinya. Buatlah dengan perlahan asalkan boleh menterjemahkan rasa kita kepada Allah. Alam itu ada rasa atau nilai cintanya kepada Allah sebab itu mereka taat. Begitu juga dengan manusia jika ada nilai cinta, mereka akan taat kepada Allah.

Analoginya mudah saja jika kita cinta kepada seseorang maka kita akan taat kepada orang itu.  Setiap masa akan teringat dan akan sentiasa mahu bersama. Begitu juga kalau ada rasa cinta dengan Allah perasaan ingin selalu bersama itu akan hadir. Kita tidak taat dengan Allah kerana tidak ada rasa.

Kekuasaan Allah melangkaui segalanya di dunia

Apabila awan itu berzikir tapi bagaimana dengan kita? Adakah kita berzikir dan ingat Allah? Sebenarnya semakin kita taksub dengan alam akan menyebabkan diri semakin jauh dengan Allah kerana Allah itu maha tidak logik, Dia boleh lakukan apa saja yang di luar keterbatasan fikiran manusia.

Di situlah letaknya bahawa alam sudah memberitahu manusia yang terleka agar berzikir kepada Allah. Malangnya, manusia itu membiarkan dirinya terus hanyut. Banyak yang terperdaya dengan penemuan kalimah Allah pada benda, pokok, buah dan batu hingga ada yang sanggup membelinya dengan nilaian yang cukup tinggi.

Dikatakan kalimah Allah yang tertera di dalam batu itu cukup hebat yang boleh mendatangkan macam-macam kuasa. Sebenarnya bukan huruf itu yang ada kuasa tetapi pemilik huruf itu iaitu Allah yang amat berkuasa.  Kenapa kita tidak menyembah empunya huruf. Alam itu lebih merasa wujudnya sifat 20 sebab itu mereka taat berbanding manusia.

Lihatlah kembali cara Rasulullah melayan alam. Pernah terjadi suatu peristiwa di mana Rasulullah sedang berjalan di kawasan perkuburan, tiba-tiba Baginda mengambil satu pelepah tamar yang masih segar dan diletakan di atas salah satu kubur. Mudah-mudahan selagi pelepah itu belum kering ia akan meringankan seksa kubur penghuninya. Apa maksudnya itu?

Itulah buktinya bahawa alam bertasbih. Kita tidak nampak betapanya hebat pelepah tamar itu selagi ia tidak kering maka ia akan bertasbih. Dengan tasbih itulah yang membantu meringankan seksa kubur penghuninya. Jadi kita sebagai makhluk yang punya nilai mengatasi makhluk yang lain wajiblah sentiasa bersyukur kepada Allah dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare