ABDUL AZEEZ RAHIM./Gambar Fb Bernama

MAHKAMAH Rayuan sekali lagi menangguhkan keputusannya berhubung rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke satu tarikh lain, apabila bekas pengerusi Tabung Haji itu tidak sihat.

Panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menangguhkan tarikh bagi menyampaikan keputusan mereka ke hari Isnin ini.

Peguam Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana menghidap gastroenteritis akut sejak 2 pagi tadi dan telah pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan.

“Kami telah menangguhkan kes ini berkali-kali, walaupun kami tidak mahu mempertikaikan kesihatannya, tetapi tidak sepatutnya proses mahkamah disalah guna,” kata Hakim Kamaludin.

Amer Hamzah berkata ia bukan niat anak guamnya untuk menyalahgunakan proses mahkamah, dan berjanji untuk memberikan salinan sijil sakit Abdul Azeez kepada mahkamah.

Panel itu pada mulanya dijadualkan menyampaikan keputusan berhubung rayuan Abdul Azeez bulan lepas, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Amer Hamzah memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau telah membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun hari ini Amer Hamzah memaklumkan hakim bahawa beliau tidak menerima sebarang jawapan mengenainya.

Baca: Abdul Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik pertuduhan

Hakim Kamaludin berkata beliau berharap pihak yang terlibat akan memberi jawapan kepada representasi itu.

“Kalau tolak, perlu beritahu supaya ada jawapan dan perkara itu tidak tergantung,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron kemudian berkata beliau akan memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan.

Hakim Abu Bakar kemudian berkata di pihaknya, mahkamah sudah bersedia untuk menyampaikan keputusan.

Abdul Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan rasuah, perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, ia didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

— BERNAMA