Najib utus warkah dari penjara untuk ahli UMNO

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang mengutuskan warkah dari penjara buat seluruh ahli UMNO.

Warkah itu dibacakan anak perempuan Ahli Parlimen Pekan itu, Nooryana Najwa dalam Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Nooryana Najwa dilihat sebak ketika membacakan surat tersebut.

Baca artikel berkaitan: Anak, peguam Najib beri ucapan pada Taklimat Khas Presiden UMNO

Ahli-ahli UMNO yang menghadiri majlis tersebut turut dilihat mengalirkan air mata sebaik Nooryana Najwa membacakan warkah tersebut.

Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Berikut teks penuh surat Najib yang dibacakan Nooryana Najwa:

Yang berhormat Presiden UMNO, Yang berhormat Timbalan Presiden dan seluruh pimpinan UMNO dari seluruh bahagian.

Di malam yang syahdu ini, setelah pintu kamar saya di Penjara Kajang dikunci oleh pengawal.

Saya tergerak hati untuk menulis warkah ini kepada seluruh pimpinan UMNO yang hadir di perjumpaan ini dan juga kepada semua penyokong kita baik di dalam UMNO atau pun di luar.

Apabila BN tewas dalam PRU-14, saya beriltizam untuk terus berjuang meski pun ada yang telah menggambarkan UMNO sebagai kapal yang sudah karam dan kata-kata nista yang lain.

Ada juga yang memberi pandangan bahawa kalau nak hidup dalam politik kita kena pilih menyokong sama ada Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim, sebaliknya saya memilih untuk menyokong UMNO sebab saya terlalu kasih kepada parti kita.

Lantas itu, saya telah bekerja dan berjuang habis-habisan termasuk untuk menjenamakan semula identiti saya sebagai ‘Bossku’.

Di setiap pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN), saya telah berusaha sedaya upaya dengan segala kudrat saya untuk menyumbang kepada kemenangan UMNO bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

Alhamdulillah, kini UMNO sudah lebih segar dan kuat, kita sudah bangun dari mimpi ngeri 2018 meskipun cabaran PRU-15 menanti kita.

Saya sedar bahawa setiap perjuangan mesti ada pengorbanan tapi saya tak jangka bahawa harga yang saya terpaksa bayar begitu tinggi sekali kepada diri saya dan keluarga saya.

Dalam masa empat tahun ini, saya telah terpaksa naik turun tangga mahkamah sebanyak lebih 300 kali, ini tak termasuk rumah saya digeledah pada malam pertama bulan Ramadan 2018 dan diikuti kemudiannya dengan rumah bonda tersayang.

Cukai yang tertinggi yang pernah dikenakan pada mana-mana individu di dunia dan lima kes sivil. Isteri saya pun turut didakwa dan anak-anak saya pun dikenakan cukai pendapatan tambahan.

Semuanya ini tiada asas yang rasional atau pun mengikut undang-undang cukai yang sebenarnya.

Dalam kes SRC, saya telah didakwa pada bulan Julai 2018, mula-mula di hadapan Hakim Datuk Sofian (Abd. Razak) yang terpilih secara random.

Setelah kes berjalan, tiba-tiba Datuk Sofian diganti dengan Hakim Mohd. Nazlan (Ghazali) yang tidak ada pengalaman dalam bidang jenayah sama sekali.

Seorang hakim yang junior dari bahagian sivil dipilih untuk mendengari kes high profile.

Dari sini bermulalah rentetan keputusan-keputusan yang pelik-pelik sehinggalah rayuan saya di Mahkamah Persekutuan bermula pada 15 Ogos yang baru lalu.

Mutakhir ini, SPRM telah membuat siasatan terhadap Hakim Nazlan dan telah kemukakan syor mereka ke Peguam Negara. Pihak peguam saya telah memohon Mahkamah Persekutuan untuk dibenarkan additional evidence (bukti tambahan) ini didengari.

Sekali lagi permohonan saya ditolak, kenapa tak mahu diketahui siasatan SPRM? Sekiranya Hakim Nazlan telah terlibat secara mendalam dalam urusan Maybank Investment dengan 1MDB dan SRC, maka beliau perlulah menarik diri daripada menjadi hakim kerana Hakim Nazlan sudah berada dalam keadaan konflik.

Sesungguhnya mahkamah sepatutnya mencari kebenaran, bukan mencari alasan tidak berbuat demikian. Saya yakin jika additional evidence dibenarkan, kes SRC akan menjadi berlainan daripada apa yang berlaku.

Kemungkinan re-trial atau mistrial boleh menjadi keputusan mahkamah.

Saya minta peguam saya, Tan Sri Shafee (Abdullah) untuk menjelaskan kes SRC dari segi perundangan. Apa yang jadi kemusykilan saya ialah saya tidak dapat fair hearing dan hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan dinafikan kepada saya.

Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia, seorang perayu tidak diwakili oleh peguam. Alasan yang diberikan oleh Ketua Hakim atas sebab teknikal yang sepatutnya tak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan negara.

Akhirnya rayuan saya ditolak, bukan atas merit tapi atas soal teknikal. Saya tidak minta kes saya digugurkan seperti kerajaan PH yang telah menggugurkan kes Lim Guan Eng, Rafizi serta lain-lain pemimpin.

Saya cuba tuntut keadilan dan a fair trial. Itu pun telah dinafikan kepada saya. Saya juga tidak mahu melibatkan parti dalam urusan mahkamah. Saya sejak mula seperti parti pembangkang.

Namun, bila saya dihempap dan ditekan dengan orang-orang yang begitu yakin dan licik, saya tiada pilihan melainkan untuk memohon kepada Presiden UMNO dan semua ahli UMNO untuk bersuara dan bertindak.

Kalau perkara ini boleh berlaku kepada saya sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.

Memilih untuk berdiam diri bererti mereka yang berniat jahat terhadap UMNO akan berjaya.

Pada saya, UMNO perlu berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Kita sebagai parti tetap menghormati the rule of law tapi tonggak kepada rule of law mestilah hakim-hakim yang adil tanpa dipengaruhi oleh kuasa-kuasa ghaib yang bermotifkan politik.

Saya tetap tidak berputus asa walaupun jasad saya dipenjarakan tapi roh saya tetap kuat untuk terus berjuang mendapat keadilan pada akhirnya.

Saya juga tidak akan rasa keseorangan jika 3 juta ahli UMNO bersama dengan saya menentang pengaaniayaan dan apa yang disebutkan sebagai miscarriage of justice.

Menitis air mata tidak akan mengubah keadaan, hanya tindakan yang berani, terselaras dan bijak sahaja boleh membawa kejayaan. Sesungguhnya saya berasa amat terharu dengan langkah Zahid dan MKT untuk mengadakan pertemuan ini.

Semoga Allah akan memberikan rahmat-Nya dan mengizinkan kita berjaya menentang kezaliman dan penganiayaan yang keterlaluan ini.

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This