ALBUM pertama Sophia yang dinanti-nantikan akhirnya menemui peminat selepas single pertamanya, Game of Charades diterbitkan pada Mac 2021.
Sophia yang merupakan seorang komposer dan penulis lirik cenderung menulis tentang kehidupan dari kaca matanya sendiri.
Siapa sangka, lagu hasil nukilan Sophia, Game of Charades membawa pemilik nama Sophia Zuhri itu lebih matang dalam penulisan lagu.
Lebih manis, Game of Charades dapat distrim dalam platform Spotify sejak Mac 2021.
Pada usia 18 tahun, Sophia mengakui dia sudah matang dan bangga dengan pencapaiannya sehingga saat ini, malah menyatakan menulis lagu menjadi medium ‘observation’ buat dirinya.
“Saya mampu meluahkan pemerhatian saya terutamanya tentang kehidupan dalam lagu-lagu nukilan saya.
“Saya percaya kebanyakan dari kita pernah melalui pelbagai fasa kehidupan terutamanya ketika meningkat dewasa,” katanya.

Untuk fasa kedua karier muziknya, Sophia menampilkan buah tangan terbaharu dalam bentuk Mediocre Love, Against Me, Mimpi-mimpi Ini dan Perfect For You yang merupakan hasil karyanya tersendiri bagi menjadi pelengkap album penuhnya yang bakal berada di pasaran digital mulai September ini.
Anak bongsu empat beradik yang gemar tersenyum ini turut mengakui, karya-karyanya menjurus kepada pemerhatiannya dan pengalaman hidupnya melalui pergaulan dengan rakan-rakan sebaya
Malah, dia memberitahu penglibatannya dalam industri muzik tempatan mendapat dorongan dan sokongan keluarga dan teman-teman rapat.
Sehinggalah pertemuannya dengan komposer dan penyanyi Ajai banyak menjadi penanda aras penting dalam kariernya sebagai seorang artis.
Bertitik-tolak daripada situ, Sophia mula mengorak langkah sebagai anak seni tempatan, tunjuk ajar Ajai dimanfaat untuk namanya terus meniti di bibir peminatnya.
Kali ini, Sophia turut mempertaruhkan sebuah lagu Bahasa Malaysia, Mimpi-mimpi Ini yang ditulis sendiri.
“Asalnya, Mimpi-mimpi Ini ditulis dalam Bahasa Inggeris sebelum Ajai menggarap lirik Bahasa Malaysia dalam lagu itu.
“Bukan mudah bagi saya untuk mendendangkan lagu dalam Bahasa Malaysia, pengalaman ini agak mencabar, namun saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat,” jelasnya.
Mimpi-Mimpi Ini menceritakan kesusahan seseorang yang mencuba untuk membantu individu lain namun ditolak.
Realitinya, ada segelintir individu yang bergelut dengan masalah mental dan tidak mahu dibantu.
“Saya merasakan amat penting bagi mereka untuk meminta pertolongan tanpa rasa diadili atau dihukum,” tegasnya.
Album ini diterbitkan oleh Inspirasi Entertainment Sdn. Bhd., dan diedarkan Universal Music Malaysia.