Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau terkemuka diterajui oleh PCCW, mengumumkan pelancaran drama Viu Original AI.5YA yang menampilkan Zizan Razak, bersama gandingan anak beranak Datuk Afdlin Shauki dan Mia Sara Shauki serta Ozlynn Waty dan Elly Arifin.

Dua episod pertama drama ini sudah pun mula ditayangkan bermula 18 Ogos, dengan dua episod baharu ditayang setiap Khamis untuk semua penonton Viu di 16 pasaran di rantau ini.

AI.5YA, Viu Original ketiga tahun 2022, mengisahkan tentang Jehan yang mengendalikan satu saluran komedi atas talian yang kehilangan pembantunya kerana aksi ‘prank’ yang melampaui batas.

Sebagai ganti, Datuk Soffar, pemberi dana untuk Jehan telah mengaturkan pemberian seorang android serba boleh bagi membantu kerja-kerja penggambaran.

Walau bagaimanapun, satu kekeliruan telah mengakibatkan Jehan menerima AI.5YA, sebuah robot peneman.

Akan tetapi, apabila video-video Jehan bersama AI.5YA menjadi viral, beliau terpaksa merahsiakan identiti sebenar AI.5YA daripada peminat dan saingan, termasuklah Maya, saingan terdekatnya, dan adiknya, Jasmine.

Pengurus Negara untuk Viu Malaysia, Kingsley Warner, berkata, karya terbaharu daripada pasukan Viu Original adalah sebagai simbol penghormatan kepada sitkom keluarga dengan penambahan elemen moden yang menggabungkan aspek-aspek teknologi, keluarga dan komedi dalam satu drama yang pihaknya percaya akan diterima baik oleh penonton Viu.

“Kami sentiasa berusaha menyerlahkan produksi buatan Malaysia dengan harapan karya baharu ini akan mendapat sokongan penonton tempatan dan serantau dengan barisan pelakon, jalan cerita dan produksi yang berkualiti.

“Ini boleh dilihat dengan lebih banyak lagi menerusi beberapa drama Viu Original yang akan dikeluarkan tahun ini,” katanya.

Afdlin memainkan peranan sebagai pencipta, penulis, pengarah dan pelakon tambahan di dalam siri ini, setelah menghasilkan filem komedi popular seperti Papadom, Sumolah dan Buli Balik.

Antara kerja-kerja terbaharunya termasuklah filem Bini-Bini Lockdown dan Baik Punya Ah Long yang akan ditayang di pawagam tidak lama lagi.

Jehan dilakonkan oleh pelawak tempatan tersohor Zizan Razak yang juga merupakan pemenang anugerah Pelawak Paling Popular di Anugerah Bintang Popular pada tahun 2019. Zizan juga terkenal dengan lakonannya menerusi francais filem Polis Evo dan Abang Long Fadil.

Sementara itu, Mia Sara Shauki memegang watak AI.5YA, dan terkenal kerana lakonannya di dalam siri Wizards of Warna Walk, serta filem-filem yang akan keluar di pawagam tidak lama lagi seperti filem aksi sci-fi Ceroboh, serta filem komedi Baik Punya Ah Long.

Ozlynn Wati memegang watak Jasmine, kakak kepada Jehan. Setelah mencipta nama sebagai pelakon di teater, Ozlynn juga terkenal dengan lakonannya di dalam telefilem Jangan Malu Menangis dan siri komedi Imamku Okey.

Elly Arifin pula memegang watak Maya, saingan dan kawan sekolah Jehan yang mempunyai saluran video dalam talian berfokuskan kecantikan. Bekas penyampai radio, Elly mula berlakon dan mencipta nama di dalam drama seperti Semusim Rindu, 28 Hari Mencari Cinta, dan baru-baru ini, Lockdown 2.

Pengguna Viu boleh menonton siri ini di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play dan televisyen pintar terpilih, serta laman Viu di www.viu.com.