HANYA rasa cinta kepada negara membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk terus bekerjasama dan bersatu padu mempertahankan kedamaian, keamanan dan kemerdekaan Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2022 yang disiar di saluran televisyen tempatan, malam ini, Perdana Menteri menyifatkan ia satu perkara penting ke arah usaha membangunkan dan menjaga kedaulatan negara.

“Adat bersaudara, saudara dipertahankan; Adat berkeluarga, keluarga dilindungi; Adat berkampung, kampung dijaga; Adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; Sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan,” katanya.

Mengimbau kembali sejarah, Ismail Sabri mengingatkan bahawa rahmat dan nikmat kemerdekaan yang negara kecapi hari ini tidak datang bergolek, namun ia adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata.

“Tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan,” katanya.

Memetik nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh dan Rosli Dhobi, beliau berkata mereka inilah antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta.

“Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua. 

Semangat seperti ini perlu digilap kepada generasi baharu supaya mengenal sejarah pahlawan negara di samping menyedarkan pemimpin bangsa ke arah landasan yang betul menurut tuntutan dan ajaran agama,” katanya.

BERITA BERKAITAN Semarakkan bulan Kemerdekaan dengan kempen #bebasbersama

Menurutnya semangat dan perjuangan yang wujud sejak dahulu terus mengalir dan diterjemahkan dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956, di London, England.

“Nilai kemerdekaan inilah akhirnya yang telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, selain integrasi nasional silang budaya merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuklah anggota keselamatan, tentera dan polis,” katanya.

Menuju ke hadapan, Ismai Sabri mengingatkan di era modenisasi ini, bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial, justeru, jika rakyat tidak bersama mempertahankan kemerdekaan diperjuangkan wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin boleh berulang, menyebabkan negara kembali dijajah. 

Meskipun, katanya ancaman penjajahan baharu ini bukan dari segi fizikal, namun ia sangat berbahaya dan merupakan cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara.

“Bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini dan semua negara di dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih,” katanya.

Tahun ini, buat kali pertama sambutan kemerdekaan dapat diadakan secara besar-besaran selepas ia dihentikan seketika disebabkan pandemik COVID-19, membolehkan rakyat meraikannya bersama secara fizikal.

Sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bermula seawal 7 pagi esok dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat ke upacara sambutan itu.

Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Ismail Sabri berkata sesungguhnya Kebawah Duli Tuanku umpama payung yang melindungi dan menyatukan seluruh rakyat tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Alhamdullilah, pada tahun ini, Keluarga Malaysia di seluruh negara kembali berpeluang meraikan sambutan kemerdekaan secara besar-besaran, sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram