Sebahagian daripada persembahan ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

OLEH: PROF. TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tahniah Malaysia menyambut 65 tahun kemerdekaan. Dari sebuah negara pertanian yang hampir separuh penduduknya miskin, Malaysia kini selangkah menuju ketahap negara berpendapatan tinggi.

Setelah 65 tahun merdeka, kemajuan pembangunan adalah meluas. Rakyat Malaysia berpendidikan, sistem kesihatan berkualiti, infrastruktur yang baik dan jalinan sistem pengangkutan yang menyeluruh.

Malaysia berada di pentas global, berdaya saing, antara pilihan untuk destinasi pelaburan global. Kajian Bank Dunia, The Growth Report (2008), menyenaraikan Malaysia sebagai antara 13 buah negara yang dianggap ‘berjaya’ dalam konteks pembangunan.

Apa jua kejayaan pembangunan yang dilaporkan; kemasukan FDI, penciptaan pekerjaan, kemajuan digital, peningkatan eksport, kehebatan penyelidikan dan inovasi, kemajuan teknologi, kecekapan perkhidmatan awam, jalinan lebuhbraya yang efisien, tahap produktiviti semakin tinggi dan pelbagai lagi petunjuk pembangunan, ia MESTI mengalir kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Tahap pendapatan adalah antara ukuran yang penting dalam menilai kejayaan pembangunan. Di mana kita sekarang? Apakah kejayaan pembangunan yang dilaporkan mengalir kepada rakyat? Semua merasa? Semua selesa? Semua sejahtera?

Manfaat pembangunan tidak tersebar kepada semua kelas pendapatan.

Secara umum, pendapatan semua lapisan masyarakat (B40, M40, dan T20) telah meningkat TETAPI kadarnya tidak sama. Kumpulan T20, jelas lebih menikmatinya. Kumpulan pendapatan B40 dan M40 tidak mengecapi kejayaan pembangunan negara seperti yang dinikmati kumpulan T20.

Pastinya SALAH kalau kita mahukan semua mempunyai pendapatan yang sama. Kepelbagaian tahap pendapatan tetap akan ada dan turut menjadi faktor dorongan untuk bersaing, berusaha lebih gigih. Jangan salahkan kumpulan T20.

Yang perlu diperbaiki ialah apa yang sampai dan boleh dicapai oleh kumpulan pendapatan menengah dan rendah, iaitu ‘kadar’ peningkatan pendapatan-rendah dan malar bagi kumpulan pendapatan B40 dan M40. Diambil kira kenaikan kadar inflasi dan raga penggunaan, berkemungkinan kehidupan mereka lebih tertekan.

Polisi berbentuk bantuan boleh diteruskan tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah. Penekanan ke atas keupayaan dan peluang menjana pendapatan perlu ditingkatkan. Pro-low income growth strategies are needed. Kalau dibiarkan, ramai yang akan terperangkap, ‘negara maju, saya tidak’.

Hampir separuh dari rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang rentan (vulnerable)-mudah jejas.

Pendapatan penengah Malaysia ialah RM5,873. Tahap pendapatan 2.5X dari Garis Kemiskiman iaitu RM5,520 adalah dianggap ‘rentan’-mudah jejas.

Pandemik Covid-19 jelas memaparkan kerentanan ini. Sekitar 97% dari enterprais di Malaysia ialah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Sekitar 66% tenaga kerja Malaysia berkerja dengan PMKS dan sebahagian besar darinya (70% dari enterprais) adalah perusahaan Mikro (kurang dari 5 pekerja)- sangat rentan dan dalam sektor tradisional. Kumpulan B40 juga ramai dalam sektor informal, tiada pendaftaran perniagaan dan tiada perlindungan sosial.

Polisi untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan PMKS mesti ditingkatkan lagi. Menarik pelaburan asing (FDI) penting, tetapi kemajuan pelaburan dan keupayaan perusahaan tempatan (DDI) mesti menjadi agenda utama, setanding dengan FDI.

Masalah majoriti rakyat ialah kehidupan yang tertekan, tidak selesa. Hidup berkejar, cukup-cukup sahaja.

Benar kemiskinan masih wujud di Malaysia, terkini sekitar 8.4%. Menangani kemiskinan tetap penting tetapi setelah 65 tahun merdeka, majoriti masalah rakyat telah berubah kepada ‘tidak selesa’, bukan miskin. Keresahan yang selalu dilaporkan ialah hidup tertekan, tidak selesa. Ia lebih atas dari kemiskinan.

Baca artikel berkaitan: Negara berpendapatan tinggi mana yang anda mahu, tiga nasi goreng dan dua kuetiau, RM558.00!

Kita perlu menilai ‘keselesaan’ dengan lebih jelas. Sehingga kini belum ada pentakrifan dan pengumpulan data rasmi yang menunjukkan tahap keselesaan. Penggunaan data kelas pendapatan B40, M40 dan T20 tidak membantu. Ia adalah ukuran kelas ekonomi secara ‘matematik relatif’, tidak membawa makna kualiti kehidupan secara langsung, tetap ada walaupun di negara paling kaya di dunia.

Keselesaan turut tertakluk kepada lokasi dan tanggungan. Sebagai contoh, ukuran yang pernah dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan, untuk keluarga 4 orang, keselesaan memerlukan pendapatan sebanyak RM6,810 di Lembah Klang, sementara di Alor Setar ialah RM5,350. Ertinya sebahagian dari M40 ke bawah, masih belum dapat hidup dengan selesa. Anda mungkin keluar dari kelas B40 tetapi hidup tidak selesa. Malah anda mungkin dalam kategori M40 tetapi hidup tertekan.

Kesejahteraan luas cakupannya, melangkaui tahap pendapatan dan kuasa beli, bukan semuanya boleh diukur dengan nilai monetari.

Perpaduan, keselamatan, toleransi kepelbagaian bangsa dan agama, kebahagian rumah tangga, keharmonian masyarakat, alam sekitar yang bersih, tadbirvurus yang baik, kebebasan bersuara, jaminan hak asasi, dan beberapa ukuran pembangunan yang lain adalah bersifat ‘awam’, tiada empunya mutlak, adalah penting dalam menilai kesejahteraan. Umumnya, peningkatan pendapatan berkemungkinan membolehkan aspek kesejahteraan bersifat ‘awam’ ini direalisasikan.

Sebagai kayu ukur, tahap pendapatan yang membolehkan hidup selesa wajar menjadi sasaran perancangan pembangunan ekonomi. Bukan miskin dan bukan kaya, tetapi selesa. Merdeka ekonomi seharusnya dimanifestasikan oleh peningkatan kesejahteraan kehidupan. Bajet 2023 boleh mengutarakan aspek keselesaan ini.

MINDA UKM ingin tahu-Merdekakah ekonomi anda?

PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram