KELUARGA Malaysia perlu terus kekal bersatu padu dan mempertahankan keharmonian dalam semua aspek sebagai rencah utama kestabilan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Keluarga Malaysia antara lain, perlu meraikan perbezaan antara mereka serta menjadikannya sebagai satu kelebihan dan terus merapatkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kita mesti terus kekal bersatu. Itulah rencah paling penting untuk kestabilan negara daripada apa sahaja pun termasuk politik.
“Jangan jadikan perbezaan itu sesuatu yang boleh merenggangkan hubungan kita,” katanya pada sesi wawancara radio NASIONALfm sempena program Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Wisma Radio RTM hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.
Baca artikel berkaitan: Rasa cinta kepada negara membolehkan rakyat pertahan kedamaian, keamanan dan kemerdekaan – PM
Selain itu dalam wawancara kira-kira 45 minit itu, Ismail Sabri sempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini berkata Keluarga Malaysia perlu mengekalkan jati diri dengan memastikan mereka bebas daripada penjajahan minda dan budaya.
“Kekalkan diri kita sebagai individu yang benar-benar merdeka kerana penjajahan baharu bukan dalam bentuk fizikal seperti dahulu tetapi penjajahan baharu adalah melalui penjajahan minda dan budaya. Kita mesti kekalkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada K-KOMM selaku Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 kerana berjaya menganjurkan sambutan pada hari ini dengan sangat cemerlang.
“Alhamdulillah, sambutan yang sangat meriah hari ini, saya tengok dari segi pertunjukan dan perarakan memang sangat baik sekali,” katanya.
Beliau turut menzahirkan perasaan terharu dengan semangat yang dipamerkan Keluarga Malaysia yang sejak malam tadi memenuhi pekarangan Dataran Merdeka untuk turut serta dalam sambutan itu.
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan yang mempamerkan kesungguhan mereka pada acara sambutan itu.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

