SEBELUM tamadun manusia memasuki tahun Masihi, hampir kesemua ilmuwan kuno mempunyai fahaman bahawa bumi adalah pusat alam semesta. Matahari dan bulan pula adalah objek bergerak yang saling mengelilingi bumi untuk mewujudkan suasana siang dan malam.

Berdasarkan kepada catatan-catatan awal sejarah, ahli astronomi kuno percaya bahawa bumi ini adalah statik (tidak berputar dan tidak bergerak). Sebaliknya matahari, bulan dan planet-planet lain yang bergerak mengorbit bumi dalam satu putaran sekata. Fahaman tersebut diistilahkan sebagai sistem Geosentris.

Pada abad ke-3 SM, seorang ahli astronomi bernama Aristarchus telah menyatakan bahawa bumi bukanlah pusat alam semesta. Sebaliknya beliau berpendapat bumi berputar dan bergerak mengelilingi matahari yang merupakan pusat gerak langit. Namun, teori itu tidak diterima pada zaman itu.

Ketika ilmuwan Islam sudah pun mencipta glob bumi dan takwim Hijrah, masyarakat Eropah dan kebanyakan bahagian lain di dunia masih lagi mempercayai bumi sebagai pusat alam semesta.

Kepercayaan itu berubah pada abad ke-15 apabila seorang ahli astronomi Itali, Nicolaus Copernikus membuka lembaran baru dengan mengemukakan teori bahawa planet dan bintang bergerak mengelilingi matahari. Manakala bulan pula adalah objek samawi yang mengorbit bumi.

Fakta ini kemudian disokong oleh Galileo Galilei pada abad ke-16. Melalui pengamatannya menggunakan teleskop, beliau mengesahkan bahawa matahari adalah pusat sistem solar, sementara bulan pula adalah objek lunar yang berputar dan bergerak mengelilingi bumi di laluan orbitnya yang tersendiri.

Allah s.w.t ketika menerangkan mengenai pergerakan bulan di dalam Al-Quran, ada menekankan bahawa ia mempunyai laluan orbit yang tertentu. Firman Allah yang bermaksud:

“Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya).” (Surah Al-Anbiya : 33)

Dalam satu lagi ayat berlainan, perihal mengenai orbit bulan dijelaskan dengan lebih spesifik lagi yang mana ia diumpamakan seperti bentuk tandan kurma yang telah tua. Firman Allah;

“Dan bulan pula Kami tetapkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kembali pula ke peringkat awalnya, (yakni berbentuk melengkung) seperti tandan (urjuun) kurma yang kering.” (Surah Yaasin : 39).

Bulan tidak mengikuti orbit biasa seperti satelit planet lain. Ketika bumi mengelilingi matahari, bulan pula mengorbit bumi dalam keadaan yang berbeza dengan laluan yang berbentuk berpilin. Keadaan ini akan menyebabkan jalur pergerakan bulan kelihatan melengkung seperti huruf S.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh kedudukan bulan yang mengelilingi bumi dalam tempoh lebih kurang 27 hari. Kedudukan itu akan menempatkan bulan terkadang berada di belakang bumi dan sebahagian tempoh lagi berada di hadapan (antara bumi dan matahari).

Jaluran melengkung yang dibentuk oleh orbit bulan ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran dengan istilah ‘tandan kurma’ (urjuun) yang tua atau matang. Perbandingan ini ternyata sesuatu yang signifikan kerana secara semula jadinya tandan kurma yang telah tua akan menjadi lebih tipis dan berpilin. Perkara ini, sekalipun tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi ia dapat dibuktikan melalui perhitungan falak.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta ini, yang mana setiap satunya diperkirakan mempunyai 200 bilion bintang. Kebanyakan dari bintang ini mempunyai planet, dan setiap planet pula mempunyai satelit. Semua objek-objek ini bergerak mengikut orbit masing-masing, termasuklah bumi dan bulan. Untuk beberapa ratus juta tahun, kesemua objek ini ‘berenang’ melintasi orbit dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna.

Sesuatu yang menakjubkan ialah ketika Allah menerangkan fakta ini di dalam Al-Quran, manusia belum lagi mencapai tahap kemodenan dalam bidang astronomi. Sudah pasti tiada ulasan saintifik yang mampu menyokong apa yang dinyatakan oleh Al-Quran pada ketika itu.

Bagaimanapun, pada kurun ke-20, penemuan saintifik mengenai jaluran pergerakan bulan ini akhirnya telah membuktikan bahawa apa yang dinyatakan dalam al-Quran adalah tepat serta selari dengan sains. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah mukjizat dan Dialah yang lebih mengetahui tentang rahsia isi alam ini.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram