Keturunan Iskandar Zulqarnain
Sekadar gambar hiasan

Uniknya juga kisah-kisah dalam al-Quran, tidak disebutkan bilakah tarikh berlakunya sesuatu peristiwa. Begitulah juga dengan kisah Zulqarnain. Dari itu maka pasti timbul pelbagai persoalan di zaman manakah Zulqarnain ini hidup.

Bersandarkan pada pendapat Ibnu al-Jauzi, terdapat tiga jawapan atas persoalan tersebut. Menurut Saidina Ali r.a. baginda raja Zulqarnain hidup di kurun yang pertama dan merupakan anak kepada Yafis bin Nuh. Pendapat kedua pula dari al-Hassan bahawa baginda hidup selepas kaum Thamud dan dikatakan umurnya mencecah 1600 tahun.

Manakala pandangan ketiga pula dari Wahab bin Munabih bahawa baginda hidup di zaman antara nabi Isa dan nabi Muhammad s.a.w.

Pun begitu Dr. Hamka juga punya pandangan tersendiri dalam kitab karangannya yang menaqalkan riwayat menyebut bahawa Zulqarnain hidup di zaman nabi Ibrahim a.s. dan puteranya nabi Ismail a.s. Di dalam riwayat tersebut turut menyatakan bahawa menteri Zulqarnain adalah nabi Khidir a.s. iaitu salah seorang nabi yang diberi kebijaksaan yang tiada tolok bandingnya.

Keturunannya

Sememangnya kisah tentang ketokohan dan kekuasaan Iskandar Zulqarnain bukan hanya disebut dalam al-Quran semata, bahkan ia menjadi buah mulut bagi semua bangsa dan tamadun dari generasi ke generasi.

Apabila disebut Iskandar Zulqarnain iaitu seorang raja yang menguasai timur dan barat, sudah semestinya ia masyhur di seluruh dunia. Kisah kekuasaannya itu menyebabkan ramai yang mengagumi dan tidak terkecuali mendakwa merekalah dari keturunan Iskandar Zulqarnain.

Ia seperti yang dapat dilihat dalam kitab catitan sejarah Melayu Sulalatus Salatin. Kalangan Raja-raja Melayu turut mendakwa merekalah susur galur dari keturunan Iskandar Zulqarnain. Bahkan dalam manuskrip Undang-Undang Kedah menyebutkan adat istiadat raja-raja hari ini berasal dari zaman raja Iskandar Zulqarnain.

Bukan sahaja tamadun dan bangsa Melayu malah hampir semua bangsa yang cuba mengaitkan keturunan susur galur mereka adalah dari keturunan Iskandar Zulqarnain termasuklah bangsa Cina, India bahkan Jepun dan Eropah.

“Jika begitulah, saya sendiri juga boleh dakwa berasal dari keturunan Iskandar Zulqarnain” seloroh Abdul Mukti Baharudin, Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ketika ditanya tentang keturunan Iskandar Zulqarnain.

Artikel berkaitan: siri 3: Benarkah Iskandar Zulqarnain adalah Alexander the Great

Walaubagaimanapun ujarnya, mendepani hal ini kita perlu berfikir dengan kerangka logik akal yang waras. Kalaulah diri Zulqarnain sendiri pun berlaku khilaf dan berbeza pandangan, bagaimana hendak memastikan siapakah keturunannya yang betul.

“Sedang nama dan empunya diri pun tidak diketahui dengan jelas, apatah lagi untuk mengesahkan siapa sebenarnya keturunan Zulqarnain.”

Dalam metod sejarah, untuk membuktikan susur galur seseorang ia perlu dilihat kepada nasab keturunannya. Itulah kaedah yang paling tepat.

Justeru jika ada yang mendakwa mereka keturunan Iskandar, kita hanya boleh terima sahajalah. Hendak kata salah pun tidak boleh. Hendak kata betul pun tidak boleh juga. Anologi paling mudah kita lihat kepada keturunan Baginda s.a.w.

Ramai mendakwa mereka adalah dari keturunan Iskandar Zulqarnain termasuklah orang Melayu

Bermula dari Baginda s.a.w. kita masih mengetahui siapa anak, atau cucu cicit Baginda s.a.w. dan itu tidak pun punya khilaf antara ulama dengan sejarawan. Namun sampai kepada satu peringkat keturunan, sudah mula berlaku khilaf dan berbeza pandangan tentang siapa kini yang masih lagi menjadi keturunan Baginda s.a.w.

Maka begitulah juga dengan keturunan Iskandar Zulqarnain. Mana mungkin dapat diketahui secara sahih siapa keturunannya walaupun ramai yang mendakwa merekalah dari keturunan Zulqarnain.

Individu unik dalam al-Quran

Adapun bagi pembaca al-Quran, pastinya mereka sedar di dalam al-Quran terdapat beberapa individu tertentu yang Allah sebutkan beserta dengan peristiwa hebat yang mereka alami seperti kisah Luqman al-Hakim dan anaknya, Ashabul Kahfi dan lain-lain lagi.  

Namun begitu, Allah tidak pun sebut nama-nama mereka dengan jelas atau, tempat serta latar masa yang tepat.

Bagi Abdul Mukti, itu semua punya hikmahnya yang tersendiri tidak lain agar umat nabi Muhammad s.a.w. boleh mengambil pelajaran, dan boleh meletakkan diri mereka pada tempat sebagaimana situasi-situasi individu yang disebutkan.

Sejujurnya kalaulah Allah mewahyukan kisah Zulqarnain atau yang lainnya dengan lengkap termasuk zaman bila dan sebagainya, sudah pasti al-Quran hanyalah dilihat sebagai buku sejarah sahaja bukan sebagai kitab panduan hidup.

Dan sudah pastinya juga persepsi masyarakat melihat situasi ini sebagai kisah sejarah semata tanpa diambil sebagai pengajaran.

Bagi mereka “oh! ini kisah Zulkarnain bukan kisah aku. Jadi biarlah kisah ini berlalu” sedangkan apa yang Allah inginkan agar setiap kisah tersebut dijadikan ingatan, pedoman dan pengajaran untuk dirinya.

Jika kisah yang disebutkan itu baik maka jadilah seperti mereka. Dan jika apa yang ditunjukkan adalah buruk sebagaimana sikap Firaun maka jauhkanlah dari berkelakuan sebegitu.

Kisah-kisah ini tidak lain bagi menguatkan iman dan menambahkan lagi ketakwaan kepada Allah supaya menjadi insan yang mukhlis, insya Allah.

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare