Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa) serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bergambar bersama sebahagian pelajar-pelajar pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, 3 September lalu.

KERAJAAN bersetuju memberi tablet berjenama terkenal secara terus kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sunguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“Umum mengetahui bahawa Inisiatif PerantiSiswa ini diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu serahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

“Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara YB Menteri Komunikasi dan Multimedia (Tan Sri Annuar Musa) bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa.

“Justeru, pada hari ini sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memberi terus peranti yang berupa sebuah tablet berjenama terkenal ini kepada semua penerima,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Annuar Musa dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan tablet kepada salah seorang pelajar pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Baca: Persatuan pelajar diberi tanggungjawab bersama laksana PerantiSiswa

PerantiSiswa: Tambahan empat kategori buat pelajar B40

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, setiap penerima bakal mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing (pelindung), keyboard (papan kekunci) dan stylus pen.

Sementara itu, menurut Perdana Menteri, sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 diperuntukkan bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara.

Menerusi inisiatif ini, katanya, pelajar B40 menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti.

“Majoriti pelajar yang menggunakan teknologi dalam urusan pembelajaran harian, menerima kesan positif dalam pembelajaran dan dapat menambah ilmu pengetahuan
tanpa sempadan.

“Namun begitu, terdapat pelajar yang kurang berkemampuan, ada kalanya perlu meminjam peranti rakan atau terpaksa pergi ke pusat Internet di bandar semata-mata
untuk menghadiri kelas dalam talian mahupun membuat tugasan pengajian,” jelasnya.

Selain itu, kata Ismail Sabri, dalam usaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” ujarnya.