BILA disebut tentang kehilangan orang tersayang buat selamanya, pasti kerinduan itu terlalu dalam.

Episod kehilangan ayah tercinta ketika umur baharu sahaja menginjak 10 tahun, kemudian nenek tersayang yang menjadi tulang belakang dan disusuli pula sahabat karib yang sering menemani waktu susah dan senang bukanlah perkara mudah.

Namun buat penyanyi wanita popular tanah air yang merupakan juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 menerusi lagu Gila, Kaka Azraff bangkit daripada kesedihan lampau dengan karya terbaharunya berjudul Hilang hasil ciptaan komposer terkemuka, Omar K bersama Ezra Kong dan diterbitkan oleh label rakaman Warner Music Malaysia.

“Hampir setahun saya tidak muncul dengan mana-mana single kerana memerlukan masa untuk memproses segalanya. Selepas kehilangan nenek tersayang dan sahabat rapat yang banyak membantu dalam kerjaya seni, saya seakan kehilangan arah dan semangat untuk terus berkarya.

“Namun, pada penghujung tahun lalu, selepas mendengar demo lagu ini, saya temukan
semangat baharu dan nekad untuk kembali berkarya kerana kehilangan sangat memberi kesan,” kongsi ibu kepada dua putera comel, Aslan dan Aryan ini.

Single Hilang persembahan Kaka merupakan pengubat jiwa bagi dirinya yang ‘hilang’ dek
kerana kehilangan individu penting dan dicipta begitu puitis sekali dengan melodi yang unik.

“Idea di sebalik pembikinan lagu ini datangnya daripada saya sendiri. Saya abadikan kehilangan orang tersayang dalam sebuah karya buat mereka yang telah pergi untuk selamanya.

“Ayah merupakan insan pertama dalam hidup saya yang mula-mula mengesan bakat nyanyian yang saya ada. Manakala nenek pula merupakan insan terpenting kerana dibesarkan olehnya.

“Masih saya ingat lagi bila ada artikel yang keluar mengenai saya pasti dipotong dan disimpannya.

“Dan Emmy Agung, bukan sahaja jurusolek hebat bahkan sahabat yang sentiasa menemani saya ke mana sahaja, sama ada ke mesyuarat mahupun persembahan,” cerita Kaka dalam nada sebak.

Maksud di sebalik single ini menceritakan tentang kehilangan seseorang dalam hidup kita yang memberi impak mendalam.

“Saya tujukan lagu ini buat mereka yang telah ‘hilang’ secara zahirnya, tetapi sebenarnya tidak ‘hilang’ dan sentiasa ada dalam hati.

“Kita sering mengambil mudah dalam banyak hal dan apabila mereka tiada baharulah kita sedar pentingnya seseorang itu dalam hidup. Lumrah manusia mengingati sesuatu yang telah tiada.,” ujarnya.

Pada single kali ini, pendengar akan terpesona dengan alunan muzik pop yang diadun bersama elemen tradisional yang diberi nafas baharu yang segar dan moden.

Kaka sering menampilkan muzik baharu dan unik yang jarang didengar namun senang ‘ditangkap’ oleh peminat muzik.

“Sebagai penyanyi, saya sukakan karya yang ‘edgy’, moden dan baharu, lain dari lain serta unik.

“Setelah berada hampir 10 tahun dalam industri muzik, saya lebih matang dalam memilih ‘material’ untuk dijadikan lagu.

“Kalau dahulu apa yang ‘trending’ itu menjadi ikutan tetapi kini, saya nak hasilkan sesuatu yang dapat menggembirakan saya dahulu sebelum membuat orang lain gembira dengan lagu-lagu saya.

“Hhilang tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, hanya sekitar dua jam sahaja. Menariknya ketika itu, saya sedang sarat hamil tujuh bulan dan Ezra sempat mengusik ‘takut-takut’ kalau nafas tidak sampai. Alhamdulillah proses rakaman berlangsung dengan lancarnya,” kongsinya.

Kaka berharap lagu tersebut di terima baik oleh semua dan mendapat tempat di hati peminat dan pencinta muzik.

“Harapan saya seterusnya agar lagu ini dapat memasuki AJL sekali lagi, Insya-Allah.

“Mereka yang pernah rasa kehilangan diharap tersentuh dengan karya saya ini. Sentiasalah kenang pada mereka yang telah pergi dan hargai mereka yang masih ada bersama kita,” ungkapnya menutup bicara.

Hilang boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh
didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.