SELEPAS tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon Nad Zainal mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya, Muhammad Faliq Amiruddin.

Malah hasil semakan di Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis itu, gambarnya bersama Faliq juga sudah dipadamkan.

Menghubungi Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin, ibu kepada dua cahaya mata itu mengiyakan perkara berkenaan.

Malah, dalam nada tenang dengan penuh emosi, Nad berkata, keputusan berpisah itu satu hal yang mudah.

“Iya, kami sudah bercerai baru-baru ini. Malah keputusan berpisah ini juga dicapai dengan kata sepakat. 

“Kami masih berkawan baik demi dua anak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Nad enggan berkongsi lanjut tarikh dan punca perceraiannya.

“Cukup dikongsi status saya kini. Saya perlu menjelaskan soal status diri supaya tidak mengundang fitnah.

“Apa yang lebih utama kini, saya perlu kuat untuk meneruskan survival membesarkan dua anak serta membiasakan status ibu tunggal,” katanya yang bakal muncul dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

Nad mendirikan rumah tangga bersama Faliq pada tanggal 18 Disember 2015.

Sepanjang berkongsi hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6 tahun dan Budi Kalsom, setahun.