KEJOHANAN Menembak Piala DSS 2022 disifatkan permulaan baik bagi menimbulkan minat orang awam terhadap sukan menembak.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejayaan penganjuran Piala DSS 2022 yang julung kali itu diadakan membuktikan bahawa kejohanan menembak semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, agensi-agensi kerajaan terutama penguatkuasa wajar memberikan sokongan padu kepada kejohanan tersebut bagi mengasah kemahiran menembak masing-masing.
Malah, Ahmad Faizal turut berharap sukan menembak itu dapat melahirkan lebih ramai individu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Selain untuk beriadah, saya fikir sukan menembak ini wajar diberikan perhatian oleh agensi-agensi kerajaan.
“Saya harap kita boleh perkenalkan sukan ini kepada orang ramai dan satu hari nanti ada penembak dapat mengharumkan nama negara ke peringkat dunia.
“Kita doakan Kejohanan Menembak Piala DSS 2022 ini diadakan setiap tahun dan semakin mendapat perhatian termasuk penyertaan daripada penembak luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Piala DSS 2022 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Presiden KMSS, Dato’ Sri Shafiz Shahrani.

Baca artikel berkaitan: Piala DSS 2022 wadah tingkat kemahiran disiplin menembak
Ahmad Faizal turut berkesempatan ‘mencuba nasib’ dalam pertandingan tersebut apabila bergandingan bersama-sama Shafiz dan dua lagi tetamu kenamaan dalam kategori Falling Plate berpasukan.
Kejohanan Menembak Piala DSS 2022 yang dianjurkan KMSS itu menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM2,400 bagi kategori Stage Challenge dan Side Arms manakala pemenang Falling Plate berpasukan membawa pulang RM1,000.
Selain itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada penembak-penembak yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan IPSC World Shoot 2022 yang berlangsung di Pattaya, Thailand, November depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Faizal turut menyatakan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk ‘menghadiahkan’ insentif kepada penembak dalam kejohanan akan datang.
Sehubungan itu, beliau berharap pasukan itu dapat membawa pulang kejayaan untuk negara.
“Saya mendoakan semua peserta yang mengambil bahagian di kejohanan dunia di Pattaya itu nanti dapat membawa pulang kejuaraan dan kita kembali ke sini untuk merayakan kejayaan mereka.

“Saya ingin menyatakan komitmen daripada KBS, jika mereka berjaya, KBS akan memulakan pemberian insentif kepada penembak untuk mengambil bahagian dalam kejuaraan antarabangsa.
“Jadi buktikan, tunjukkan jalan agar ada lagi penembak yang akan berjaya dan mereka akan diberikan insentif untuk mewakili negara,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

