SEORANG ahli perniagaan Malaysia dilaporkan melarikan diri daripada tahanan rumah menjelang pelaksanaan hukumannya di Amerika Syarikat (AS).

Ahli perniagaan berkenaan iaitu Leonard Glenn Francis atau lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ terbabit dalam skandal rasuah utama Tentera Laut AS.

Menurut laporan Reuters yang memetik San Diego Union-Tribune, ‘Fat Leonard’ melarikan diri setelah memotong gelang kaki pemantauannya.

Timbalan Penyelia Marshal AS, Omar Castillo berkata, ahli perniagaan tersebut dipercayai memotong gelang kaki Sistem Penentududukan Global (GPS), Ahad lalu.

Katanya, pihak polis mendapati rumah Leonard kosong pada hari tersebut.

Pendakwa Raya sebelum ini memaklumkan Leonard menawarkan wang tunai; makanan gourmet; cerut mahal; arak cognac yang jarang ditemui dan pesta seks di hotel mewah kepada pegawai tentera laut sebagai balasan pertukaran kontrak.

Penguatkuasa tempatan dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS bersama-sama dalam pemburuan suspek.

Baca artikel berkaitan: Tiada kerjasama babit perkara dosa, rasuah dan salah laku – Abdul Hadi

Castillo memaklumkan tindakan dilakukan ahli perniagaan itu semestinya sudah dirancang terlebih awal dengan jiran-jiran Leonard melaporkan melihat pergerakan trak keluar masuk dari rumah suspek sejak beberapa hari lalu.

Leonard, yang bekerjasama dengan penyiasat AS dibebaskan atas alasan cuti perubatan dan diletakkan di bawah tahanan rumah dan sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September ini.

Pada 2015, ahli perniagaan itu mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai tentera laut sebagai sebahagian daripada skim rasuah dan penipuan meluas membabitkan syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defence Marine Asia, yang memberikan perkhidmatan kepada kapal di Armada Pasifik Tentera Laut.

Jabatan Kehakiman AS menggelar skim itu sebagai penipuan terbesar yang membawa kerugian berpuluh juta dolar kepada tentera laut dan lebih 30 orang didakwa, dengan kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan pada perbicaraan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram