Berita TV5:
Polis hari ini telah menahan seorang bekas penyanyi rock atas kesalahan najis dadah. Bekas penyanyi rock yang terkenal di awal tahun 90-an itu dipercayai sudah lebih tiga tahun terlibat dengan aktiviti pengambilan dadah setelah disahkan bercerai dengan isterinya.
Turut ditahan bersama penyanyi tersebut ialah 10 orang rakannya, dan kesemua mereka disahkan positif dadah setelah melalui ujian air kencing. Menurut Asisten Superintenden, Datuk Abu Bakar Wahab, kesemua mereka akan ditahan reman selama seminggu sebelum didakwa di mahkamah.
Sebaik sahaja mendengar berita di atas, Suzei terus menghantar mesej ke aplikasi Whatsapp Group (WG): “Siapa tahu penyanyi rock yang baru kena tangkap pasal dadah?”
Serentak dengan itu juga berpuluh-puluh mesej memasuki aplikasi komunikasi siber tersebut. Ada yang memberi jawapan dengan mengandaikan penyanyi rock yang dimaksudkan ialah Zeck dan ada juga yang mengesahkan bahawa penyanyi tersebut ialah Bob. Tidak kurang juga rakan WG yang memuat turun laporan daripada blog dan akhbar Internet berkaitan laporan berita tersebut.
Pendek kata hampir semua individu yang terdapat dalam WG tersebut tidak mahu terlepas peluang daripada menyatakan pendapat masing-masing tentang isu yang sedang hangat dibincangkan ketika itu atau turut sama menyumbang maklumat yang dianggap baik, betul dan berfaedah untuk dikongsi bersama oleh rakan-rakan yang lain dalam WG.
Maka, tidak sampai tiga jam selepas pihak media melaporkan tentang penangkapan penyanyi terbabit, nama dan gambar artis tersebut tiba-tiba menjadi viral dalam dunia siber, termasuk Whatsapp dan Facebook (FB).
Kata orang, inilah lumrah dunia artis dan selebriti, bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia, hatta di negara maju sekalipun. Seribu kebaikan yang kita buat belum tentu menaikkan dan mengharumkan nama kita di persada dunia.
Namun, dengan satu kesalahan sahaja yang kita mungkin tersalah buat, sudah mencukupi untuk kita menerima sejuta kutukan, makian, dan kata cercaan. Atau dengan kata lain, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut kepada perhatian ramai, jangan bermimpi kononnya nak jadi artis.
Itulah harga yang terpaksa dibayar bila mana seseorang itu sudah menjadi public figure. Namun, sama ada seseorang selebriti itu telah bersedia atau pun tidak dalam menghadapi sumpah dan fitnah dunia glamor, itu bukanlah hak kita untuk bertanyakan mereka.
Apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apa peranan kita dalam memastikan diri kita tidak terpalit sama dalam fitnah dunia akhir zaman ini. Adakah kita yakin bahawa status yang kita tulis dalam FB dan mesej yang kita hantar dalam Whatsapp tersebut bebas daripada unsur-unsur fitnah?
Cuba perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Seorang perempuan pelacur telah diampunkan dosanya oleh Allah apabila pada suatu hari ia melintas di hadapan seekor anjing yang sedang tercungap-cungap kedahagaan dan kelihatan hampir-hampir akan mati, lalu perempuan tersebut dengan segera meringankan penderitaan anjing tadi dengan cara memberi minum anjing tersebut menggunakan kain tudung yang ada padanya.” (HR al-Bukhari)
Dalam hadis di atas, kita dapati Rasulullah s.a.w. hanya menyebut ‘seorang perempuan pelacur’. Tidak pula Baginda menyatakan umur wanita terbabit, kaum kabilah asalnya, tempat tinggalnya, daerah asal ia dilahirkan dan dibesarkan, jenis pekerjaan yang dilakukan olehnya, kemahiran yang ada padanya, siapa sahabat handai yang rapat dengannya, tidak itu, dan tidak juga ini. Semuanya tidak. Kenapa? Kerana semua perkara tersebut tidak penting dalam konteks dakwah. Yang pentingnya ialah pengajaran di sebalik cerita yang disampaikan.

Bagi para sahabat yang mendengar cerita yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. ini pula, mereka langsung tidak bertanya junjungan Baginda akan identiti perempuan pelacur yang dimaksudkan. Tidak pula ada dalam kalangan para sahabat yang mencuba menyiasat apakah kesudahan yang berlaku ke atas perempuan tersebut.
Tidak pula kedengaran ada dalam kalangan para sahabat yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina ke atas perempuan pelacur tersebut. Dan tidak pula ada yang cuba menafikan niat ikhlas si pelacur itu dalam membantu anjing yang dahaga.
Sekali lagi, semua itu tidak ada. Kenapa? Kerana semua itu tidak penting bagi orang yang beriman dan beramal salih. Yang pentingnya ialah kesedaran bahawa sedikit kebaikan yang kita lakukan secara ikhlas akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah.
Yang pentingnya, bukan sekadar apa yang kita lakukan pada hari ini dan semalam, tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana kesudahan kita semua nanti, iaitu sama ada kita mati dalam keadaan husnul khatimah (mati yang baik), ataupun su’ul khatimah (mati yang tidak baik).
Oleh itu, jangan kita mudah terasa bangga dan meninggi diri apabila kita banyak melakukan kerja-kerja kebajikan ketika orang lain masih berpeluk tubuh tanpa menghulurkan sebarang bantuan, kerana belum tentu kerja-kerja tersebut mampu menyelamatkan diri kita daripada api neraka Allah.
Begitu juga, jangan pula kita cepat melemparkan kata-kata hinaan dan cercaan kepada seseorang yang kita lihat hidup bergelumang dengan maksiat kerana boleh jadi individu tersebut sempat bertaubat nasuha sebelum ia menghembuskan nafas yang terakhir.
Perlu diperincikan atau tidak?
Berbalik kepada berita yang disampaikan oleh TV5 di awal artikel ini, perlukah rasanya pihak media memperincikan identiti bekas penyanyi yang ditahan oleh pihak polis tersebut?
Apakah signifikannya kepada masyarakat sehingga pihak media perlu memberitahu orang ramai bahawa penyanyi yang terlibat dengan najis dadah tersebut adalah bekas penyanyi rock, terkenal pada awal tahun 90-an, dan telah pun bercerai dengan isterinya sejak tiga tahun yang lalu. Apakah faedah yang diperolehi oleh rakyat negara ini berkaitan pendedahan berkenaan?
Bagi pihak masyarakat pula, apa untungnya bila kita mengetahui nama penyanyi yang dimaksudkan? Apa faedahnya untuk kita turut sama terlibat meviralkan laporan, gambar, dan video yang dikaitkan dengan laporan berita daripada pihak media tersebut?
Apakah kita tidak pernah terfikir akan gangguan dan bebanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh bekas penyanyi rock tersebut, termasuk juga kaum keluarga beliau? Atau dengan kata lain, kenapa kita tiba-tiba menjadi lupa akan akibat dosa dan pahala bila berhadapan dengan isu seperti ini?
Nampaknya, semua pihak sama ada pihak media, mahupun masyarakat perlu kembali semula kepada etika media dalam Islam. Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. sebenarnya yang menyentuh dan membincangkan tentang perkara ini, termasuk melarang kita daripada mendedahkan keaiban orang lain. Antaranya firman Allah dalam surah al-Hujurat: 12
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,
“… Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)
Dalam masa yang sama, Rasulullah s.a.w. turut menekankan kepentingan setiap orang Islam menjaga tangan dan lidah masing-masing daripada menyakiti orang Islam yang lain. Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Orang Islam itu ialah mereka yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti orang Islam yang lain …” (HR al-Bukhari)
Oleh itu, dalam menghadapi situasi seperti itu, sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita semua terselamat daripada turut sama bersubahat dalam menyebarkan keaiban dan keburukan orang lain, kerana kita juga pastinya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika kita mahu menjaga tepi kain orang sekalipun, pastikan jangan sampai kita terselak kain tersebut kerana lambat laun kain kita pula yang akan terselak juga akhirnya.
Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah. Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

