Jika anda berkunjung ke San Francisco, jangan memandai beri burung merpati makan di sekitar jalan di bandar tersebut.

San Francisco telah menetapkan undang-undang melarang memberi makanan kepada burung merpati. Bandar di utara California di Amerika Syarikat itu mempunyai sebab khusus mengapa undang-undang tersebut dilaksanakan.

Banyak kesan yang akan timbul jika masyarakat sering memberi makanan sesuka hati kepada haiwan ini kerana tindakan itu dianggap boleh membahayakan kawasan kejiranan dan juga membahayakan kehidupan burung itu sendiri.

Adalah salah di sisi undang-undang jika memberi burung makan di jalanan atau kaki lima di San Francisco. Pesalah boleh dikenakan tindakan dan denda di bawah seksyen 486 Larangan Memberi Burung dan Haiwan Liar Makanan.

Malah, penduduk di bandar ini juga setuju dengan larangan itu. Menurut mereka, memberi burung merpati makan berisiko mengakibatkan kerosakan harta benda awam dan mungkin sesetengah makanan tidak baik untuk burung tersebut.

San Francisco melarang memberi makan kepada merpati.

Alah, pegawai bandar di kawasan itu juga melancarkan kempen pendidikan kepada masyarakat bagi memahami undang-undang itu sekaligus memberi pendidikan untuk menghargai kehidupan.

Masyarakat sentiasa diingatkan bahawa kehadiran burung merpati yang banyak akan mewujudkan pelbagai masalah di bandar. Contohnya, najis-najis burung merpati akan bertaburan dan mengotorkan bangunan. Bau busuk dan kesan najis itu juga mencemarkan kebersihan alam sekitar.

Najis haiwan itu yang bertaburan juga boleh menyebabkan penyakit merebak dengan cepat terutamanya kepada golongan kanak-kanak, wanita mengandung dan warga tua. Hama burung merpati akan memburukkan keadaan si penyakit asma dan kepada bayi baru lahir.

Kehadiran merpati akan membawa pelbagai risiko buruk.

Selain itu, bahan untuk membuat sarang haiwan ini yang mungkin berterbangan setelah ditiup angin akan menyekat longkang dan akan mengganggu aliran air semasa musim hujan seterusnya mengakibatkan banjir.

Manakala lebihan makanan yang ditaburkan oleh orang awam untuk burung merpati akan terbiar dan menarik perhatian tikus dan lipas berkeliaran di kawasan bandar tersebut.

Selain itu, memberi burung merpati makan juga akan menggalakkan lebihan pembiakan. Biasanya, merpati boleh membiak dua atau tiga kali setahun dengan menghasilkan dua telur setiap induk.

Jika burung ini diberi makan secara berlebihan, mereka mampu membiak sehingga lapan kali sekali. Cuba bayangkan jika bandar tersebut akan dipenuhi dengan burung merpati kerana tertarik dengan pemberian makanan dari orang awam.

Burung merpati juga akan kehilangan tabiat semula jadi mereka iaitu keluar mencari makanan sendiri dan menikmati kebebasan. Populasi burung yang banyak pada sesuatu kawasan akan menyebabkan burung ini berlaku kemurungan dan sakit. Mereka memerlukan kawasan yang luas dan persekitaran yang baik untuk terus hidup walaupun dalam kelompok burung yang kecil.

Atas sebab itulah peringatan diberikan kepada masyarakat di bandar San Francisco. Adalah salah di sisi undang-undang jika mereka sewenang-wenangnya memberi makan kepada burung tersebut kerana ia akan membawa lebih banyak risiko buruk.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram