
PENGISIAN wajah Malaysia di Suria KLCC antaranya boleh dilihat menerusi restoran atau premis yang menjual sajian tradisional.
Bagaimanapun, atas beberapa faktor, pengusaha premis berkenaan dilaporkan tidak mampu kekal lama di pusat beli-belah yang teretak di bangunan ikonik kebanggan rakyat Malaysia.
Salah satunya yang mampu bertahan sejak pembukaan Suria KLCC pada 1998 ialah La Cucur hinggakan cukup sinonim dengan gedung perniagaan bertaraf antarabangsa itu.
Namakan apa sahaja kuih-muih dan hidangan tradisi Melayu, hampir semuanya boleh didapati di premis tersebut yang terletak di suatu sudut di Tingkat Concourse Suria KLCC.
Namun selepas 24 tahun, hari ini merupakan hari terakhir La Cucur Suria KLCC beroperasi – menyusuli beberapa restoran tradisional sebelum ini seperti Kelantan Delight.
Pengumuman tersebut yang dibuat bulan lalu memang mengejutkan terutama buat pelanggan regular mereka kerana merasakan premis tersebut cukup dekat di hati, malah ada yang dewasa bersama.
Justeru ramai yang meninggalkan komen di media sosial bakal merindui momen-momen di La Cucur KLCC termasuk hidangan signature seperti kuih koci, seri muka, roti jala dan nasi dagang.
Menurut pengurusan La Cucur KLCC, pihaknya berbangga dapat menyajikan makanan tradisional kepada orang ramai di sekitar Menara Bekembar Petronas dan pelawat dari seluruh dunia menerusi outlet di Suria KLCC yang beroperasi sejak 1998.
Menerusi Facebook syarikat itu, kata pengurusan La Cucur, malah Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri juga sangat berbangga dengan La Cucur KLCC kerana sebuah syarikat tempatan berjaya menarik minat pengunjung seluruh dunia dengan hanya menjual ‘cucoq’ tradisi.
Namun kata mereka, setiap yang bermula pasti berakhir tetapi peminat La Cucur masih boleh mendapatkan juadah kegemaran mereka di tiga lagi cawangan syarikat itu di ibu negara.
“Masanya kita mengucapkan selamat tinggal. Terima kasih Suria KLCC, terima kasih semua.
“Teruskan menyokong kami seperti biasa di Bangsar Village, KL Sentral dan Great Eastern Mall,” kata La Cucur yang turut merakamkan penghargaan kepada tiga individu.
Ini termasuk Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin iaitu bekas Pengerusi Petronas.