KONSERT sulung Faztival Fazura 2022 yang telah diadakan Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi telah berlangsung dengan gilang gemilang.

Konsert dimulakan dengan nyanyian pembukaan oleh Datuk M. Nasir serta penampilan khas Fattah Amin dengan aksi silat mengiringi lagu Mentera Semerah Padi di hadapan lebih 8,000 penonton.

Konsert yang dianjurkan dibawah jenama Fazura tersebut turut menghimpunkan penyanyi terkemuka tempatan yang lain seperti Datuk Awie dan Ratu Rock Malaysia, Ella.

Selain itu, festival itu juga telah digamatkan dengan persembahan memukau daripada kumpulan Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Pengasas Fazura iaitu selebriti Nur Fazura Sharifuddin meluahkan rasa sangat terharu dengan sambutan luar biasa terhadap konsert sulung Faztival pada tahun ini dan berharap untuk menjadikan Faztival Fazura sebagai acara tahunan anjuran syarikatnya.

“Alhamdullillah saya bersyukur kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa dan
tidak menyangka dapat mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records dengan penciptaan dua rekod baharu peringkat kebangsaan iaitu The Largest Tudung Fazura Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia,” katanya.

Serentak dengan penganjuran konsert tersebut, Fazura juga telah melancarkan produk
terbaru dipasarkan syarikatnya iaitu Fazura BeautyWater, minuman tanpa gula yang
diperkaya dengan lycopene, untuk mencantikkan kulit secara semulajadi.

Sorakan berterusan penonton turut diserikan oleh nyanyian Fazura sendiri dengan medley lagu popularnya dan diakhiri dengan gubahan semula lagu Jika Cinta Allah yang diiringi petikan gitar akustik oleh Ahmad Dhani.

Ahmad Dhani dan Mulan Jameela adalah dua selebriti Indonesia yang dijemput khas untuk membuat persembahan pada konsert Faztival.

Konsert Faztival Fazura 2022 diakhiri oleh persembahan khas Ahmad Band yang diketuai Ahmad Dhani.

Selain daripada menghargai para peminatnya, anjuran konsert seperti ini juga disasarkan oleh syarikat Fazura untuk membantu merancakkan industri hiburan tanah air dan kegiatan ekonomi industri seni yang lain seperti pelancongan dan Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) tempatan yang telah banyak menerima kesan akibat pandemik COVID-19, selaras dengan aspirasi #MilikSemua.