hati yang bercahaya
Sekadar gambar hiasan

Kemampuan hati dan mata hati (basirah) ulul-albab yang begitu hebat sebagaimana yang disebutkan di atas menunjukkan hati mereka telah dihidupkan dan dilimpahkan cahaya hidayah yang khusus oleh Allah. Firman Allah dalam surah al-An’am: 122, 

“Adakah orang yang hatinya mati lalu Kami hidupkan dan Kami jadikan  dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan hati yang  bercahaya itu dapat memahami kebenaran  Allah) dan menyampaikannya kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang berada dalam berbagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada kegelapan itu?”.

Dalam ayat di atas Allah nyatakan ada dua orang yang mempunyai hati yang berbeza dan berlawanan. Orang pertama hatinya hidup dan bercahaya. Orang kedua hatinya mati dalam berbagai kegelapan.

Hati yang hidup dapat berfungsi dengan baik dan mencapai kejayaan. Sebaliknya hati yang mati tidak dapat berfungsi sama sekali. Kedua-dua orang tersebut adalah orang Islam.

Contoh paling mudah ialah apa yang berlaku ketika tentera Nabi Thalut melalui sebatang sungai dalam perjalanan untuk berperang dengan tentera Jalut. Nabi Thalut memerintahkan tenteranya agak tidak minum air dari sungai itu kecuali sekali minum dengan tapak tangan sahaja.

Majoriti tentera nabi Thalut a.s. berhati mati, tidak berfungsi, tidak dapat memahami hikmah mengapa mereka dilarang minum air sungai sepuas hati. Dengan logik akal, mereka minum sepuas hati supaya tubuh badan jadi segar dan kuat untuk berjuang di medan perang.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, tubuh mereka jadi lemah, hilang semangat juang dan akhirnya mereka takut berperang. Akibatntya mereka tidak diakui sebagai umat nabi Thalut a.s.

Hanya 40 orang tentera sahaja yang mempunyai hati yang hidup dan bercahaya, yang dapat memahami hikmah larangan tersebut. Mereka minum pada kadar yang dibenarkan. Mereka terus ke medan perang dan berjaya menewaskan tentera Jalut yang berlipat ganda ramainya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 249,

“Maka apabila Thalut keluar membawa tenteranya (untuk memerangi Jalut), dia berkata: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan air di sebatang sungai. Sesiapa yang minum air sungai itu sesuka hati maka ia bukan pengikutku. Dan sesiapa yang tidak menikmati air sungai itu ikut sesuka hati, maka dia adalah umatku, kecuali orang yang minum dengan sekali dengan tapak tangannya.

(Apabila tentera Thalut sampai ke sungai tersebut,) Maka mereka minum sesuka hati kecuali sebilangan kecil sahaja yang mengikut arahan. Sesudah dia (Thalut) dan orang-orang yang beriman dengannya menyeberang sungai itu, berkata tentera-tentera (yang minum air sungai sesuka hati):

Kami tidak ada daya upaya untuk memerangi Jalut dan tenteranya pada hari ini. Berkata pula orang yang yakin bahawa mereka akan bertemu Allah (telah mencapai hakikat dan Ma’rifatulLah): (Kami akan memerangi Jalut kerana) berapa banyak golongan kecil yang tidak ramai dapat menewaskan golongan yang besar dan ramai dengan izin Allah. Dan Allah tetap bersama-sama orang yang sabar.”

Syarat Allah hidupkan hati

Antara tanda jelas yang menunjukkan hati itu hidup ialah hati berasa takut dan gerun kepada kebesaran Allah sehingga seluruh tubuh badan mengelentar dan berakhir dengan hati tenang sepenuhnya dan seluruh tubuh badan jadi lembut dan selesa. Firman Allah dalam surah al-Zumar: 23,

“…Mengelentar menggigil seluruh anggota orang yang hatinya takutkan Tuhannya (Allah) ketika mendengar bacaan ayat al-Quran (yang menyebut sifat atau nama kebesaranNya). Kemudian seluruh anggota menjadi lembut selesa dan hati tenang ketika mengingati Allah (nama-nama atau sifat-sifat kesempurnaanNya)”.

FirmanNya lagi dalam surah al-Ra’d ayat 27-28,

“…Dan Allah sentiasa memberi hidayat kepada orang yang benar-benar kembali kepadaNya. Mereka itu adalah orang yang beriman (dan beramal soleh sehingga) hati mereka mutmainnah dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu hati akan mutmainnah”.

Berdasarkan  dua ayat di atas maka dapat kita simpulkan syarat yang Allah tetapkan untuk dapat kurnia dihidupkan hati dan dilimpahkan cahaya ada tiga; beriman dengan rukun iman yang enam, beramal soleh dengan rukun Islam yang lima dan zikrullah berserta tafakkur hingga hati menjadi mutmainnah. Tidak memadai hanya dengan nur Iman dan nur Islam sahaja tanpa nur zikrullah. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. hj. Jahid Sidek. Ahli Panel Pakar Tasawwuf, JAKIM

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare