3 tingkat nur zikrullah

Menurut Ibn ‘Ataillah dalam kitabnya Al-Hikam, zikrullah ada empat tahap iaitu zikir ghaflah, zikir yaqazah, zikir hudur dan zikir ghaiybah.

Di tahap pertama, hati belum dihidupkan dan belum dilimpahkan nur. Hanya di tahap kedua, ketiga dan keempat sahaja hati telah dihidupkan dan dilimpahkan nur oleh Allah. Ibn ‘Ataillah seterusnya menyatakan bahawa terdapat 3 jenis Nur cahaya yang Allah kurniakan ke dalam hati orang-orang yang berzikir.

Pertama, Nur Al-Intibah atau Nur Al-Yaqazah iaitu sejenis cahaya yang dilimpahkan oleh Allah serentak semasa hati dihidupkan. Ibn ‘Ataillah menyatakan,

“Bahawa hanyasanya Allah limpahkan warid (cahaya yang khusus iaitu Nur al-Intibah ke dalam hati anda) agar hati anda  sentiasa bercahaya dan mampu menerima limpahan rahmat hidayatNya”.

Dengan nur ini, maka hati mula berfungsi iaitu sedar dan merasa mengenai sesuatu hakikat yang berkait dengan Allah. Contohnya bila disebutkan “Allah” maka hatinya sedar tentang Allah serta merasa wujud Nya. Orang yang mendapat kurnia nur al-Intibah darjatnya ditinggikan oleh Allah dari tingkat awam ke tingkat salik.

Kedua, Nur al-Iqbal atau nur al-Hudur. Dengan cahaya nur ini, hati seseorang akan tertumpu hanya kepada Allah, menjadi hamba Nya yang sebenar, terlepas dari diperhambakan oleh makhluk. Orang ini digelarkan salik yang khawas atau salik yang khusus. Ibn ‘Ataillah berkata,

“Allah limpahkan ke dalam hati anda (warid/ nur iqbal/ hudur) agar dapat menyelamatkan hati anda dari pelbagai pengaruh makhluk dan memerdekakannya dari  diperhambakan oleh makhluk”

Ketiga, Nur al-Wisol. Ibn ‘Ataillah menyebutkan dengan kata hikmahnya yang bermaksud:

“Allah limpahkan nur al-wisol ke dalam hati anda, agar nur tersebut dapat mengeluarkan hati anda dari penjara wujud diri ke luasnya lapangan musyahadah hati anda terhadap berbagai rahsia Allah.”

Dengan nur ini, Allah kurniakan hakikat dan makrifah kepada seseorang hamba Nya, lalu dia menjadi seorang yang arif berhati ikhlas. Dengan kata lain, dia mencapai darjat ihsan, menjadi seorang muhsin.

Dia digelarkan juga sebagai salik yang khawasul khawas atau salik yang khususul khusus. Orang ini juga yang digelarkan sebagai al-insan al-kamil, berhati hidup, sentiasa diterangi cahaya dan sangat hebat. Wallahu a’lam