Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN untuk memberikan moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat bergantung kepada pertimbangan bank.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian moratorium atau sebaliknya kepada PKS bergantung sama ada PKS mampu membuat pembayaran balik.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan boleh menggalakkan dasar yang membantu rakyat.

Tengku Zafrul turut berharap bank dan Bank Negara Malaysia (BNM) terus menyokong PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang benar-benar menghadapi kesukaran.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh setakat ini, antaranya berikutan penggunaan domestik yang meningkat, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman lebih baik.

Justeru, kata beliau, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi akibat pandemik mungkin bukan penyelesaian terbaik pada masa ini.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Malaysia komited ke arah kelestarian kewangan seterusnya memberi penekanan terhadap isu, cabaran dan peluang berkaitan perubahan iklim serta risikonya di Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Pertumbuhan KDNK 2022 mungkin lepasi anggaran rasmi – Tengku Zafrul

Menurut Tengku Zafrul, keupayaan negara untuk keluar daripada pandemik ini dengan selamat dan sistematik adalah penting dan mustahak untuk Malaysia melakukan pembinaan semula dengan baik serta kukuh.

“Meskipun usaha-usaha yang sedang diambil oleh sektor kewangan dalam aspek ini adalah menggalakkan, termasuk melalui penawaran pelbagai penyelesaian kewangan yang mampan, dan bantuan kepada syarikat dalam proses peralihan mereka, hakikatnya banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan.

“Inilah sebabnya mengapa sektor kewangan perlu mempertingkatkan usaha dan memainkan peranannya dalam agenda iklim dan kelestarian,” kata beliau ketika menghadiri Persidangan Perbankan Malaysia kali pertama bertemakan “Memanfaatkan Perubahan: Menukarkan Momentum ESG kepada Tindakan” anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) di ibu negara hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata,Malaysia sudah mula menumpukan perhatian terhadap kelestarian dalam menempuh cabaran perubahan iklim.

“Malaysia mula memberi fokus terhadap kelestarian lebih sedekad lalu dengan pelancaran Skim Pembiayaan Teknologi Hijau pada 2010. Sejak itu, Kerajaan terus komited untuk menyampaikan pembangunan mampan sambil memerangi perubahan iklim.

“Kita juga telah menerima pakai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, yang bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11, dan seterusnya diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang sejajar dengan Sustainable Development Goals (SDG),” ujar beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram