Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

ADA teka Oktober, ada kata November tahun ini dan tak kurangnya juga berpandangan kenapa tidak tahun hadapan sahaja diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Apa-apa pun, yang berhak memohon pembubabaran Dewan Rakyat hanyalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Senang cerita, mengikut Perlembagaan Persekutuan, itu kuasa preoragatif Perdana Menteri bagi memohon mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sebagai salah seorang pemimpin tertinggi parti, Ismail Sabri telah menjelaskan sebelum ini akan membincangkan perkara itu dengan top five UMNO.

Top five merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Dan jika melihat suhu politik semasa, angin PRU-15 nampaknya semakin hari semakin dirasai.

Malah, Ismail Sabri ketika bercakap kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini memberi bayangan akan membincangkan tarikh PRU-15 dengan top five UMNO sebelum pembentangan Bajet 2023.

Kata Naib Presiden UMNO itu ketika mengulas soalan media yang bertanya apakah pertemuan tersebut selepas pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan 7 Oktober ini:

“Mungkin awal (sebelum Bajet 2023),” katanya ringkas seperti dilapor BH Online.

Baca: PM belum bincang tarikh PRU-15 dengan ‘Top Five’ UMNO

Tiada mana-mana PM bincang tarikh PRU secara terbuka

Ismail Sabri pada masa sama mengulangi yang apa sahaja keputusan berhubung tarikh PRU-15 akan dibuat setelah bermesyuarat dengan top five UMNO.

“Macam saya beritahu sebelum ini, apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu top five UMNO bermesyuarat.

“Bila mesyuarat? Mesyuarat itu secepat mungkin,” kata Perdana Menteri selepas menghadiri Majlis Perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Setia SPICE oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai rawatan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ismail Sabri berkata, beliau telah memberitahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melihat keperluan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya telah meminta KKM supaya bantu apa yang Najib perlukan. Kalau boleh masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau tidak, itu akan ditentukan KKM,” katanya.