Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin COVID-19 varian baharu khusus untuk kegunaan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata vaksin yang akan diberikan secara percuma itu, tidak diberikan kepada semua golongan kerana situasi pandemik COVID-19 di negara ini terkawal.

“KKM mahu fokuskan (pemberian) kepada golongan berisiko tinggi. Sebarang keputusan berhubung perolehan ini akan diumumkan kelak, bersekali dengan perolehan vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan ‘Record Breaking COVID-19 Vaccination: Public Private Partnership’ hari ini, Khairy berkata proses pemberian vaksin itu akan dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta kelak.

Baca artikel berkaitan: Najib tidak dirujuk ke IJN, kekal terima rawatan di HKL – KJ

Bagi melancarkan proses pemberian vaksin tersebut, Khairy berkata pihaknya telah meminta Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Pediatrik untuk menyediakan data berkaitan pesakit komorbid dan kanak-kanak berisiko di negara ini.

“Data ini akan dikumpulkan dalam pangkalan data KKM. Ia akan bantu KKM untuk lakukan perolehan vaksin yang mencukupi,” katanya.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dan KKM berjaya melakar sejarah, apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Most Vaccination Doses Administered In a Day’ (pemberian dos vaksin terbanyak dalam sehari) menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sejak Februari tahun lepas.

Katanya jumlah pemberian vaksin tertinggi yang pernah direkodkan di negara ini adalah pada 28 Julai 2021 iaitu sebanyak 581,566 dos yang diberikan dalam masa sehari.

Untuk rekod, sehingga kini 72 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat Malaysia, meliputi warga emas, remaja dan kanak-kanak.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram