MESYUARAT Jemaah Menteri bersetuju melantik Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) ke-5, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 23 Jun 2022 sehingga tamat penggal beliau sebagai Presiden ASM pada 27 Disember 2022. 

Jelas Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu adalah satu usaha untuk mengukuhkan tadbir urus Kerajaan dalam bidang berkenaan.

“Penasihat STI Negara bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian negara dalam bidang STI.

“Beliau turut berperanan untuk mengukuhkan hubungan di antara Kerajaan dan saintis serta organisasi sains di dalam mahupun luar negara,” jelas kenyataan tersebut.

Baca lagi: BN sedia tawan semula hati rakyat Pulau Pinang – Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengalaman Dr Asma selama lebih 30 tahun dalam bidang sains sehingga ke peringkat antarabangsa, bersama sokongan jaringan pakar ASM akan menjadi sumber rujukan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu-isu semasa dengan lebih berkesan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, pelantikan itu adalah tanggungjawab besar dan merupakan amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Dr Asma telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang menjawat beberapa jawatan penting seperti Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2014-2016), Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (2019-2021), Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2012 dan Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 2016 hingga 2019.

Pada 24 Mac 2022, beliau telah menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-14.

Di peringkat antarabangsa, beliau dilantik sebagai ahli majlis Inter Academy Panel (IAP) yang berpusat di Itali yang dianggotai oleh 102 buah negara, The Academy of Sciences for the Developing World (TWAS) dan The Islamic World Academy of Sciences. 

Selain itu beliau juga dipilih sebagai Ahli Kehormat Akademi Sains Perubatan Iran pada 2017.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram