Pemimpin Pas dan UMNO dinasihatkan supaya berhenti menyerang sesama sendiri.


UMNO dan PAS tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama di mana-mana negeri pada masa ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun dalam politik, tiada perkara mustahil  boleh berlaku.


Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau percaya tiada negeri cenderung melaksanakan sebarang rundingan peringkat negeri dengan PAS pada masa ini kerana ketetapan parti adalah jelas, begitu juga ketetapan Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding solo pada PRU-15.


“Namun, dalam politik tidak mustahil jika ada rundingan kerjasama dengan PAS dibentuk bagi PRU15 mengikut situasi semasa. Buat masa ini, kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan keutamaan UMNO kini bersiap siaga hadapi pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan Berita Harian, hari ini.

Kata laporan itu lagi, UMNO Kelantan tegas Ahmad Jazlan, pihaknya tetap dengan pendirian memutuskan hubungan dengan PAS dan tiada sebarang keputusan berhubung rundingan semula untuk mana-mana kerusi di negeri itu.

“Jika ada perkembangan, kita akan maklum kepada MKT. Saya tak akan buat keputusan sendiri, sebaliknya secara kolektif,” katanya menambah, terpulang kepada parti membuat keputusan berdasarkan perkembangan semasa politik dan kepentingan untuk menang besar pada PRU15.

Rabu lalu, media melaporkan beberapa ketua UMNO bahagian mendesak MKT menutup pintu rundingan dengan PAS berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi PRU15.

Ahli UMNO sudah empat kali menangis kerana PAS

Di KUALA BERANG, Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat, berkata UMNO dan BN negeri itu tetap akan bergerak solo menghadapi PRU15 dan ia sudah diputuskan pada mesyuarat perhubungan negeri walaupun MKT mungkin membuat keputusan sebaliknya.

“Kita dimaklumkan, tiada agenda perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS pada mesyuarat (MKT) yang akan diadakan akhir bulan ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat berkelompok Persidangan UMNO empat peringkat, semalam.

Menegaskan BN negeri sudah membuat persiapan di semua peringkat untuk menghadapi PRU15 sejak 2018, beliau berkata, ahli UMNO sudah kecewa dan tidak mahu ‘menangis’ untuk kali keempat disebabkan ketidakjujuran dalam hubungan dengan PAS.

“Seluruh ahli parti menangis kecewa selepas BN tumbang pada PRU lalu dan sekali lagi menangis kegembiraan apabila UMNO menjalin kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

“Seluruh ahli UMNO kemudian menangis kecewa apabila PAS menjalin kerjasama dengan BERSATU melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan membelakangkan UMNO,” katanya.

Isu kerjasama diputuskan selepas PRU15

Di PONTIAN, Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad turut menegaskan, UMNO dan BN negeri tetap berpegang dengan keputusan parti untuk bergerak solo pada PRU15, tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti lain di luar BN.

“Seperti diputuskan BN dan UMNO, kita akan tetap bergerak solo untuk PRU15 nanti, saya rasa rasa kita dah buat keputusan. BN dan UMNO Johor bersetuju dan berpegang kepada keputusan itu, kita hanya akan fikir bentuk kerjasama selepas PRU15 selesai nanti.

“Selepas itu, barulah keperluan atau hasrat menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak dibuat,” katanya selepas menutup Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, semalam.

Mengulas isu sama, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin, percaya rundingan kedua-dua parti lebih baik diadakan sebelum PRU15 bagi memberi keyakinan umum kepada parti berkenaan, sekali gus memastikan kemenangan pada PRU15.

Ditanya syarat supaya PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU jika berminat bekerjasama dengan UMNO, beliau berkata, PAS masih menunggu keputusan MKT UMNO berhubung perkara itu.