gula cetuskan emosi marah

Perasan atau tidak, emosi kita saling berkaitan dengan perut. Apakah maksudnya? Lihat sahaja apabila kita dilanda rasa marah, ada segelintir cuba mengatasinya dengan makan. Ada juga mereka yang sedih, mereka menolak untuk makan, malah ada kalanya berlarutan sehingga beberapa hari. Apabila kita bergembira, kita lebih suka untuk makan makanan yang manis-manis.

Pakar Nutrisi, Nicolette Pace mengakui memang ada kaitan antara kemarahan, tingkah laku ganas dan makanan. Kekurangan magnesium, vitamin C atau vitamin B menyebabkan seseorang menjadi hiperaktif apabila berhadapan dengan tekanan.

Bertuahlah bagi mereka yang suka kepada sayuran hijau, buah-buahan, kekacang, telur dan ikan kerana makanan tersebut memberi nutrien yang cukup untuk menewaskan tekanan. Malang, bagi yang suka makanan dalam tin dan yang telah diproses kerana ia menyebabkan orang menjadi kurang sabar.

Tanpa nutrien yang lengkap, tubuh tidak akan dapat merembeskan bahan kimia penting seperti serotonin yang amat penting untuk menjana fikiran yang sihat dan mengekalkan emosi stabil. Kenapa perlu kita jadikan perut sebagai sandaran untuk mengawal atau melayan emosi kita?

Berpeluang bertemu dengan Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aminah Abdullah membuatkan persoalan ini diutarakan. Jelas Dr. Aminah, punca utama yang dapat mempengaruhi emosi manusia adalah pengambilan gula.

“Perasaan marah yang tercetus dalam diri seseorang juga ada kaitan dengan gula. Pengambilan gula yang banyak boleh memacu ledakan perasaan marah. Ini kerana kandungan gula yang berlebihan dalam darah boleh menjadikan badan lebih bertenaga seterusnya mencetuskan perasaan yang terlebih bertenaga dan antaranya adalah perasaan marah,” ujar Dr. Aminah.

Gula sebenarnya memberi kesan yang buruk, jika diambil berlebihan. Dengan kandungan gula yang tinggi, jantung anda mengepam dengan lebih laju seterusnya menyebabkan anda menjadi lebih panas. Ia terjadi apabila hati perlu kerja dengan lebih kuat untuk menukarkan gula kepada insulin. Inilah yang selalu terjadi kepada mereka yang mengambil gula berlebihan dalam kehidupan seharian di mana hati mereka perlu bekerja lebih masa.

Pada masa yang sama, ia menyebabkan anda berasa lebih tergesa-gesa, agresif dan penuh bertenaga. Sehinggalah pada satu tahap dalam setengah jam kemudian, anda akan berasa lemah dan tidak mampu berbuat apa selepas itu akibat keletihan.

Itulah juga yang turut berlaku sekiranya anda gemar memakan coklat. Ia boleh mencetuskan rasa gembira untuk beberapa ketika. Ini kerana coklat mengandungi bahan kimia yang boleh mencetuskan rasa gembira.

Sudah tentu ini satu berita gembira untuk penggemar coklat tapi jangan tersilap ambil. Ini kerana coklat terdiri daripada dua jenis iaitu coklat gelap dan coklat putih. Coklat gelap lebih baik kerana ia mempunyai antioksida yang tinggi berbanding coklat putih. Namun pengambilannya haruslah berpada-pada, ia tidak boleh terlalu banyak.

Jika anda mengambil coklat pada kadar yang sederhana dan teratur, tidak dinafikan bahawa ia boleh mencetuskan rasa gembira di dalam hati. Tetapi awas jika pengambilannya berlebihan kerana ia boleh menjadi anti kemurungan bertindak seakan dopamine iaitu sejenis dadah yang mana ia boleh menjadikan seseorang rasa ketagihan.

Pilih buah warna pelangi

Jadi bagi memberikan pilihan menggantikan pengambilan gula yang berlebihan, kita amat disarankan memakan lebih banyak buah-buahan. Sudah pastinya buah-buahan mengandungi kandungan gula mencukupi untuk badan manusia.

Memetik kata-kata dari tokoh sains dan perubatan Barat, Hippocrates bahawa 100 penyakit bermula dari perut. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada petikan kata itu adalah segala-galanya bermula daripada perut. Jika perut dapat dijaga dengan sihat, badan juga menjadi cergas.

Anak kecil yang mengambil gula berlebihan akan menyebabkan emosi mereka tidak stabil dan menjadi pemarah

“Sepatutnya kita mulakan pengambilan buah-buahan ini sejak peringkat awal lagi. Dedahkan kepada anak-anak dan tanamkan pengetahuan buat mereka bahawa memakan buah-buahan dapat memberikan pelbagai manfaat.

“Apa kesalahan yang kita lakukan sekarang adalah memakan buah-buahan selepas makan. Sebetulnya isilah perut dengan buah-buahan terlebih dahulu kemudian barulah diisi dengan makanan yang dihidangkan. Sewajarnya inilah cara yang betul untuk menikmati buah-buahan.

“Selain itu, memakan makanan berwarna pelangi antara yang terbaik dan antaranya adalah buah-buahan. Warna buah mencerminkan antioksida. Antioksida bermanfaat untuk mengatasi masalah radikal bebas dan juga kanser.

“Dengan gaya hidup yang tidak sihat, sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada badan tetapi dengan pengambilan antioksida yang cukup ia dapat melindungi kita daripada penyakit radikal bebas seperti jantung, kanser dan tekanan darah tinggi.

“Buah-buahan amat kaya dengan serat larut dan tidak larut yang sangat bagus untuk sistem pencernaan. Sebahagian daripada serat larut  boleh dianggap sebagai prebiotik yang mana ia cukup baik untuk pencernaan.

“Dengan kemasukan prebiotik dalam sistem pencernaan, ia memberi manfaat kepada mikro organisma baik seterusnya menyingkirkan benda asing yang memudaratkan seperti bakteria E. Coli yang menyebabkan keracunan makanan.

“Namun masyarakat kini berhadapan dengan cabaran untuk menikmati buah-buahan kerana harganya yang mahal. Ada segelintir daripada kita tidak mampu untuk membeli setiap hari buah-buahan kerana kos yang tinggi sedangkan mereka perlu membeli keperluan makanan yang lain,” jelas Dr. Aminah.

Sambungnya, disebabkan itulah terdapat kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat yang menunjukkan gelandangan di negara maju tersebut memiliki tubuh badan yang gemuk. Ini kerana mereka tidak mampu untuk membeli buah-buahan kerana harganya yang mahal, sementelah pula kehidupan yang dihimpit dengan wang.

Apa yang mereka mampu adalah membeli snek yang mana jauh lebih murah tetapi kandungan gula dalam snek adalah tinggi. Jadi tidak mustahil mereka memiliki tubuh badan yang gempal walaupun mereka tidak berduit.

Malah ada juga kajian di Amerika Syarikat yang membuktikan sebuah rumah yang terdapat buah-buahan dalam simpanan makanan mereka menunjukkan berat isi rumah adalah empat kilogram lebih ringan berbanding rumah yang tidak memiliki simpanan buah-buahan. Wallahu a’lam

_____________________________________