“Saya memang sudah beritahu kepada dia yang saya tak boleh hadir ke Singapura. Dan dia juga sudah sedia maklum tentang perkara itu,”

Demikian kata penyanyi Datuk Jamal Abdillah susulan kenyataan selebriti Roslan Shah yang terpaksa menanggung kerugian RM33,000 disebabkan dia tidak dapat hadir pada saat akhir di sebuah acara di Singapura, hari ini.

Jelas Jamal, tidak ada sebarang perjanjian antara dirinya dan Roslan bagi mengesahkan kehadirannya pada karnival Pameran Pengantin Expo Singapura.

“Roslan dah tahu yang saya ada komitmen lain pada 16 September dan untuk saya pergi ke Singapura pada hari ini agak mustahil memandangkan masa tidak sesuai.

“Ketika saya dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk ke Dungun, Terengganu dulu, Roslan ada menghubungi saya dan tetap memujuk saya untuk hadir ke majlis berkenaan. Tetapi, sudah saya jelaskan banyak kali kepadanya yang saya tak dapat datang.

“Saya juga jelaskan kepadannya yang saya ada konsert eksklusif dengan penganjur di Singapura pada penghujung tahun ini. Jadi, saya tidak mahu ganggu jualan tiket tersebut,” katanya kepada URTV.

Tambah Jamal lagi, dia mendakwa Roslan mempunyai agenda lain sehingga sanggup menyediakan tiket penerbangan dan tempahan hotel untuk dia tampil di majlis terbabit.

“Saya rasa pasti dia ada agenda tertentu sebab sanggup keluarkan bajet sendiri untuk tiket penerbangan serta hotel untuk penginapan saya.

“Malah, dia juga beriya-iya keluarkan promosi di radio, televisyen, cetak poster dan segala macam dengan mengatakan saya akan hadir serta menyanyi sedangkan dia tidak minta kebenaran saya pun.

“Keuntungan atas dia sedangkan bukan produk dia pun. Itu produk isteri saya tapi saya yang jadi mangsa. Roslan nak saya datang tapi tak mahu bayar, nak percuma.

“Tetapi saya sudah terangkan pada dia awal-awal lagi, saya terikat dengan banyak program. Esok saya akan ke Kuala Terengganu ada majis dengan Jabatan Laut,” jelas Jamal lagi.

Dalam pada itu, Jamal enggan membayar ganti rugi yang ditanggung Roslan memandangkan tiada perjanjian hitam putih selain sudah memaklumkan lebih awal dia tidak dapat menghadirkan diri.

“Jangan fikir tekak sendiri sahaja. Pihak penganjur kadang-kadang masalahnya inilah pentingkan diri. Dia tak tahu kepayahan dan letih kita macam mana. Semalam pukul 2 pagi baharu habis persembahan dan saya hanya dapat tidur pada pukul 3.30 pagi.

“Jadi sekarang ini apa sahaja bayaran yang terpaksa dia tanggung, itu bukan masalah saya sebab daripada pihak saya, memang dah beritahu tak dapat datang,” tegasnya.

Tambah Jamal lagi, dia tidak kisah untuk membuat permohonan maaf meskipun masalah tersebut bukan datang daripada pihaknya.

“Mohon maaf itu bagus, siapa pun boleh minta maaf. Saya pun boleh minta maaf tetapi sepatutnya dialah yang kena minta maaf sebab memaksa saya datang.

“Yang kedua, dia beli tiket hotel dan penerbangan seperti ada agenda peribadi. Kemudian, cetak poster, masukkan dalam radio sekaligus memburukkan nama saya meskipun dah beritahu saya tak dapat hadir.

“Jadi permohonan maaf itu seharusnya dia yang lakukan pada saya. Tapi bagi pihak saya sendiri, saya memohon maaf pada semua atas perselisihan faham antara penganjur dengan saya,” katanya.

Terdahulu, menerusi siaran langsung (Live) di Facebook, Roslan meluahkan rasa kecewa terhadap Jamal yang membatalkan penampilannya di Singapura pada saat akhir.

Ujar Roslan lagi, dia terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM33,000 (SGD10,000) kepada pihak penganjur berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal menghiburkan peminat di Singapura pada 31 Disember dan 1 Januari 2023 di Esplanade.