انتارا فكتور ڤنتيڠ ڤمبيناءن سسبواه رومه يڠ امت دتيتيقبرتكن اوليه مشاركت ملايو زمان دهولو اياله ڤرلو برسسواين دڠن بولن دالم كاليندر اسلام.

منوروت ڤنوليس بوكو ڤڠنلن رومه تراديسيونل ملايو سمننجوڠ مليسيا، عبدالحاليم ناصر، بولن ترباءيق باڬي ممبينا رومه برداسركن كاليندر اسلام ياءيت ڤد شعبان، رمضان، ذوالحجه، صفر دان ربيع الاخر.

بلياو بركات، ممبينا رومه ڤد بولن شعبان دكاتاكن ڤڠهوني اكن منداڤت رحمة دان كاسيه سايڠ درڤد ڬولوڠن راج دان ڤارا ڤمبسر.

“بولن رمضان ڤولا دأڠڬڤ باءيق كران مروڤاكن بولن باڬي اورڠ اسلام منونايكن ڤواسا. ڤڠهوني رومه سريڠ منداڤت رزقي يڠ مليمڤه رواه دمان مريک اكن منجادي كاي راي،” كات عبدالحاليم.

تمبهڽ، جک منديريكن رومه ڤد بولن ذوالحجه ڤولا، تانمن دان ترنقن ڤڠهوني اكن ممبواهكن حاصيل ماناكالا ڤد بولن صفر، ڤڠهوني اكن براوليه ككاياءن دالم ماس يڠ تردكت.

“ماناكالا باڬي بولن ربيع الاخر دأڠڬڤڤ باءيق كران ڤڠهوني رومه ترهيندر دري ڤڽاكيت٢ يڠ سوكر اونتوق دأوبتي،” كاتاڽ.

مڠولس لنجوت، بولن يڠ دأڠڬڤ كورڠ باءيق باڬي منديريكن رومه اداله ڤد محرم، ربيع الاول، جمادى الأول، جمادى الأخير، رجب، شوال دان ذوالقعده.

عبدالحاليم بركات، منوروت رامالن بوموه، ڤركارا بوروق اكن برلاكو جک منديريكن رومه ڤد بولن ترسبوت.

كاتاڽ، جک ممبينا رومه ڤد بولن محرم، اكن برلاكو هورو-هارا دان ڤرڬادوهن ماناكالا باڬي بولن ربيع الاول، توان رومه اكن دتيمڤا مالڠ سڤرتي ماتي اتاو جاتوه ساكيت يڠ سوكر دأوبتي ستله ڤمبيناءن رومه سلساي.

“سلاءين ايت، ڤد جمادى الأول ڤولا، رومه يڠ سياڤ دبينا اكن برلاكو كباكرن اتاو هرتا بندا اكن موسنه ماناكالا ڤد جمادى الأخير، ڤڠهوني رومه اكن موده دسرڠ ڤڽاكيت،” اوجرڽ.

تمبهڽ، بولن رجب ڤولا اياله بولن كچلاكاءن ماناكالا بولن شوال دان ذوالقعده دكاتاكن ڤڠهوني اكن سريڠ دتيمڤا كسوسهن دان رومه موده دڬڠڬو مخلوق هالوس.

بوكن ايت سهاج، ڤميليهن هاري يڠ باءيق جوݢ دأمبيل كيرا باڬي مشاركت ملايو سبلوم منديريكن اومه.

“منوروت ببراڤ ڤاوڠ، هاري يڠ باءيق اونتوق منديريكن رومه اياله ڤد هاري احد، جمعة دان خميس”.

باڬايماناڤون، اد يڠ مندعوا جک رومه دبينا ڤد هاري رابو دان سبتو، ساله سأورڠ اهلي كلوارݢ اكن منيڠڬل دنيا سبلوم رومه سياڤ دبينا.

منوروت عبدالحاليم لاڬي، سلڤس بولن دان هاري يڠ باءيق تله دتتڤكن اونتوق ممبينا رومه، ساتو اوڤاچارا خاص اكن دجالنكن اوليه مشاركت ملايو باڬي ممبرسيه تاڤق ڤرومهن دڠن مڠاداكن دعا سلامت.

كاتاڽ، كبياساءنڽ اوڤاچارا اين دكتواءي اوليه اورڠ عاليم سڤرتي ڤق لباي، بلال دان توق ڬورو.

اوساي سهاج اوڤاچارا ترسبوت، توان رومه اكن ممبرسيهكن سديكيت تانه دان ملتقكن ببراڤ رنتيڠ كايو يڠ دلتقكن سچارا برسيلڠ سبلوم دباكر.

“ڤركارا اين دلاكوكن سباڬاي تندا مڠهالاو جمبالڠ اتاو ڤنوڠڬو تانه ترسبوت،” اوجر عبدالحاليم.

Masyarakat Melayu dirikan rumah berpandukan bulan Islam

Antara faktor penting pembinaan sesebuah rumah yang amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu ialah perlu bersesuaian dengan bulan dalam kalendar Islam.

Menurut penulis buku Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia, Abdul Halim Nasir, bulan terbaik bagi membina rumah berdasarkan kalendar Islam iaitu pada Syaaban, Ramadan, Zulhijah, Safar dan Rabiulakhir.

Beliau berkata, membina rumah pada bulan Syaaban dikatakan penghuni akan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada golongan raja dan para pembesar.

“Bulan Ramadan pula dianggap baik kerana merupakan bulan bagi orang Islam menunaikan puasa. Penghuni rumah sering mendapat rezeki yang melimpah ruah di mana meraka akan menjadi kaya raya,” kata Abdul Halim.

Tambahnya, jika mendirikan rumah pada bulan Zulhijah pula, tanaman dan ternakan penghuni akan membuahkan hasil manakala pada bulan Safar, penghuni akan beroleh kekayaan dalam masa yang terdekat.

“Manaka bagi bulan Rabiulakhir dianggapp baik kerana penghuni rumah terhindar dari penyakit-penyakit yang sukar untuk diubati,” katanya.

Mengulas lanjut, bulan yang dianggap kurang baik bagi mendirikan rumah adalah pada Muharam, Rabiulawal, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syawal dan Zulkaedah.

Abdul Halim berkata, menurut ramalam bomoh, perkara buruk akan berlaku jika mendirikan rumah pada bulan tersebut.

Katanya, jika membina rumah pada bulan Muharam, akan berlaku huru-hara dan pergaduhan manakala bagi bulan Rabiulawal, tuan rumah akan ditimpa malang seperi mati atau jatuh sakit yang sukar diubati setelah pembinaan rumah selesai.

“Selain itu, pada Jamadilawal pula, rumah yang siap dibina akan berlaku kebakaran atau harta benda akan musnah manakala pada Jamadilakhir, penghuni rumah akan mudah diserang penyakit,” ujarnya.

Tambahnya, bulan Rejab pula ialah bulan kecelakaan manakala bulan Syawal dan Zulkaedah dikatakan penghuni akan sering menimpa kesusahan dan rumah muda diganggu makhluk halus.

Bukan itu sahaja, pemilihan hari yang baik juga diambil kira bagi masyarakat Melayu sebelum mendirikan umah.

“Menurut beberapa pawang, hari yang baik untuk mendirikan rumah ialah pada hari Ahad, Jumaat dan Khamis”.

Bagaimanapun, ada yang mendakwa jika rumah dibina pada hari Rabu dan Sabtu, salah seorang ahli keluarga akan meninggal dunia sebelum rumah siap dibina.

Menurut Abdul Halim lagi, selepas bulan dan hari yang baik telah ditetapkan untuk membina rumah, satu upacara khas akan dijalankan oleh masyarakat Melayu bagi membersih tapak perumahan dengan mengadakan doa selamat.

Katanya, kebiasaanya upacara ini diketuai oleh orang alim seperi Pak Lebai, Bilal dak Tok Guru.

Usai sahaja upacara tersebut, tuan rumah akan membersihkan sedikit tanah dan meletakkan beberapa ranting kayu yang diletakkan secara bersilan sebelum dibakar.

“Perkara ini dilakukan sebagai tanda menghalau jembalang atau penunggu tanah tersebut,” ujar Abdul Halim.