KUTUB Selatan adalah sebuah daerah bagaikan daratan putih yang diliputi oleh ais dan tidak dihuni oleh manusia. Tanah seluas 14 juta kilometer persegi ini diselimuti oleh salji setebal ratusan hingga ribuan meter.

Dengan suhu dianggarkan negatif 50 hingga 60 darjah Celsius di bawah paras beku, segala yang ada di sini kehilangan daya hidup dan fungsi secara semula jadi. Minyak bumi di daerah ini juga membeku seperti ketulan ais dan tidak mampu untuk terbakar kerana tidak mencapai titik nyala. Mudah kata, bendalir yang wujud akan menjadi pepejal disebabkan suhu sejuk yang melampau.

Namun, di kawasan yang ekstrem dingin ini wujud sebuah tasik yang dikatakan tidak pernah membeku. Air tasik yang dikenali dengan nama Don Juan ini sentiasa cair, sekalipun suhu di sekelilingnya sepanjang masa berada di bawah paras beku.

Tasik Don Juan tasik seluas 480,360 meter persegi ini dilihat seolah-olah telah melanggar hukum fizik semula jadi alam kerana tidak pernah membeku sekalipun berada di zon sejuk yang suhunya terlalu rendah.

Tasik ini terletak pada kedudukan di antara Banjaran Asgard di bahagian selatan dan sebuah kawasan lapang di utara Antartika, iaitu kira-kira sembilan kilometer dari barat tasik Vanda.

Kedudukan tasik Don Juan.
Air di tasik ini tidak membeku.

Ia telah ditemui secara tidak sengaja pada tahun 1961 oleh dua orang saintis Amerika Syarikat, Leftenan Don Roe dan Leftenan  John yang pada ketika itu telah menyertai ekspedisi untuk mengkaji tentang kehidupan beruang kutub.

Ketika penemuan awal itu, mereka menyatakan tasik tersebut agak cetek dan terdapat anak sungai yang mengalir di bahagian hujung tasik berkenaan. Manakala keadaan sekelilingnya pula dipenuhi dengan glasier ais bersaiz gergasi. Keadaan suhu pada ketika itu dikatakan berada pada tahap negatif 30 darjah Celsius, namun airnya masih kekal cair dan mengalir.

Penemuan tersebut seterusnya telah menarik minat beberapa saintis dunia untuk mengkaji anomali aneh itu.

Pada tahun 1963, tiga orang saintis Jepun yang diketuai oleh Dr. S. Murata telah melakukan kajian lanjut ke atas tasik berkenaan. Berdasarkan data-data yang diperoleh, mereka mendapati air di bahagian permukaan tasik Don Juan bersuhu kira-kira satu darjah Celcius. Suhu airnya didapati meningkat secara stabil mengikut tahap kedalaman airnya.

Data-data tersebut menunjukkan bahawa air di dalam tasik Don Juan itu seolah-olah mempunyai keupayaan untuk mengekalkan tahap kehangatan suhunya sekalipun dikelilingi oleh cuaca yang sangat sejuk. Bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku?

Tasik Don Juan.

Menurut Profesor Dr. Giles Marion dari Institut Kaji Bumi dan Sains Ekosistem, Nevada, Amerika Syarikat, keadaan itu berlaku disebabkan oleh kandungan garam yang tinggi di dalam tasik berkenaan.

Berdasarkan kepada sampel air yang diambil, kadar keasinannya didapati melebihi 40 peratus daripada tahap normal. Kadar keasinan itu menyebabkan ianya lapan kali lebih masin daripada Laut Mati, dan memiliki kandungan garam 18 kali ganda berbanding laut biasa. Secara tak langsung, tasik Don Juan ini juga telah diiktiraf sebagai air semula jadi paling masin di dunia.

Jelas Dr. Giles Marion, kandungan garam yang tinggi ini telah menyebabkan proses pengkristalan molekul air tidak dapat berlaku, seterusnya menjadikan ia kekal cair. Oleh itu, permukaan tasik ini tidak membeku seperti kebanyakan tasik lain yang terdapat di wilayah Kutub Selatan.

Kawasan di sekitar tasik Don Juan ini juga merupakan zon pelepasan air bawah tanah. Ion dominan dalam larutan air ini ialah natrium klorida dan klorida kalsium yang telah terbentuk disebabkan proses penyejatan. Keadaan inilah yang menyebabkan ia seperti dilindungi daripada suhu sejuk di benua Antartika.

Dari semasa ke semasa, tahap kedalaman dan keluasan tasik Don Juan ini sentiasa berubah-ubah. Berdasarkan peta topografi yang diterbitkan pada tahun 1977, keluasan tasik air masin ini berukuran kira-kira 25 kilometer persegi. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 90-an keluasan dan kedalaman tasik itu telah merosot dengan ketara.

Kedalaman maksimum pada tahun 1993-1994 dianggarkan sekitar 30 sentimeter sahaja. Manakala pada Januari 1997, kedalamannya berkurang sehingga sepuluh sentimeter. Pada Disember 1998, keadaan kolam itu dikatakan hampir kering, yang mana tompokan-tompokan air hanya dapat dilihat di beberapa kawasan sahaja.

Keadaan ini berlaku disebabkan sumber air bawah tanah di kawasan berkenaan semakin berkurangan. Walau bagaimanapun, kadar keasinan dan ketumpatannya masih tinggi dan kekal sama seperti dahulu.

Tasik ini kian kering.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare