Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan sebahagian daripada dadah bernilai RM91,610 yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berbeza sekitar Damansara. GAMBAR: Polis.

POLIS berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM91,610 selepas menahan dua lelaki warga tempatan dalam serbuan berbeza, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di parkir kereta sebuah pangsapuri di Damansara, pada pukul 5.30 petang.

Hasil pemeriksaan di dalam bonet membawa kepada penemuan sebuah kotak yang mempunyai 31 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 31.368 kilogram.

“Saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai sejarah penagihan dadah 20 tahun serta pengedaran dadah selama sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada dadah jenis ganja bernilai RM91,610 yang berjaya dirampas. GAMBAR: Polis. 

Jelasnya, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod di bawah Seksyen 12(2) dan enam rekod dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, dalam serbuan kedua, suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana pada pukul 6 petang.

Baca artikel berkaitan : Kastam rampas dadah RM40.56 juta disembunyi dalam mesin

Katanya, pemeriksaan di ruang tamu menemui sepeket plastik biru dengan 184 biji pil disyaki pil yaba.

“Polis juga menemui sebuah bekas yang mengandungi tiga peket plastik berisi dadah disyaki syabu dengan berat 130 gram serta sebuah alat penimbang digital,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, turut dirampas seutas rantai emas, sebuah kereta Honda City dan wang tunai bernilai RM34,500.

Wang tunai bernilai RM34,500, seutas rantai emas dan sebuah kereta Honda City yang disita. GAMBAR: Polis.

Jelasnya, hasil saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai sejarah penagihan dadah selama lapan tahun serta pengedaran dadah selama tiga bulan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau masing-masing dibawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952”.

Tambahnya, kesemua sitaan bernilai RM101,900 dan rampasan dadah dipercayai boleh dibekalkan kepada 31,500 penagih.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (1)a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram