UMUM mengetahui Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sudah mula ditayangkan di Netflix sejak 16 September lalu dan sehingga ke hari ini, filem terbabit masih lagi ditayangkan.

Namun, berbeza dengan tayangan di pawagam, filem arahan Syamsul Yusof itu menerima kritikan negatif daripada penonton platform penstriman berkenaan.

Walau bagaimanapun, Syamsul,38, optimis dan sentiasa menerima dengan lapang dada setiap komen yang diberikan peminat.

Malah, biarpun menerima kecaman hebat, namun pada masa sama, Syamsul meluahkan rasa syukur apabila naskhah yang mengutip hampir RM100 juta di pawagam itu sekali lagi trending.

“Filem Mat Kilau viral sekali lagi di Netflix…trending nombor satu. Terima kasih.

“Filem ini sejak daripada trailer pun sudah mula tular. Dulu satu Malaysia jadi trending sehinggalah ditayangkan di pawagam dan terkini di Netflix.

“Positif dan negatif adalah lumrah dalam pembikinan sesebuah filem. Saya bembira kerana anda masih bercakap mengenai filem saya, menonton dan menyokong,” katanya meneris perkongsian video di Instagram miliknya.

Terdahulu, ada segelintir penonton melahirkan rasa tidak puas hati dengan sinematografi yang dipaparkan menerusi platform terbabit.

Selain itu, mereka turut membandingkan kualiti filem terbitan Studio Kembara itu tidak sama seperti yang ditonton di pawagam sebelum ini.

Sementara itu, ada juga yang memberikan pandangan jika garapan skrip yang digunakan juga agak kurang menarik dan kedengaran seperti ‘ceramah’.