Gambar terbaru pekerja kedai 'nasi lambai', Teluk Intan, menyiapkan makanan untuk pelanggan.



PERNAH makan di kedai ‘nasi lambai’ di Teluk Intan, Perak? Kedai tersebut masih tegak berdiri di pinggir Sungai Perak, di Jalan Raja. Sudah beberapa dekad ia bediri di lokasi tersebut, sejak tahun 50-an, dan sehingga kini masih tetap popular menjadi tumpuan pelanggan menjamu selera.

‘Nasi lambai’ sinonim dengan bandar Teluk Intan, dahulu dikenali dengan nama Teluk Anson. Popularitinya bukan sahaja di kalangan warga bandar tersebut tetapi juga di kalangan orang luar yang datang ke Teluk Intan untuk bersantai atau ada urusan tertentu. Di situlah kebanyakan mereka menjamu selera.

Jam Tinggi antara tarikan utama pelancong di Teluk Intan, Perak.
Foto: Pinterest


Penulis masih ingat pada tahun 60-an dan 70-an ketika masih bersekolah, apabila datang ke Teluk Anson dari kampung di Bagan Datuk, sudah pasti menjamu selera di kedai nasi lambai. Kini apabila balik kampung, penulis akan mencari masa berkunjung untuk mengimbau kenangan lalu.


Populariti nasi lambai tidak pernah pudar. Selain jam tinggi yang memang terkenal sebagai tarikan utama pelancong, nasi lambai merupakan antara tarikan istimewa Teluk Intan, bandar ketiga terbesar di negeri Perak selepas Ipoh dan Taiping.


Kenapa dipanggil ‘nasi lambai’? Panggilan ini kerana dalam usaha menarik pelanggan, pekerja di kedai berkenaan melambai kepada orang ramai yang lalu lalang untuk singgah makan. Kata-kata seperti “Bang singgah bang” atau “Mat mari Mat” kerap dilantunkan sambil tangan melambai-lambai diiringi senyuman manis.


Nama ‘Mat’ tu sebenarnya main sebut sahaja. Bukan pemilik kedai tahu nama orang yang lalu di hadapan kedai. Kalau kebetulan yang lalu bernama Ahmad, Mohamad, Samad atau Jumat memang kenalah dengan singkatan nama yang disebut.


Ketika itu kedai nasi lambai ada beberapa pintu, dioperasi oleh berlainan pemilik. Memandangkan menu yang dijual sama, pekerja perlu bekerja keras menarik pelanggan.


Kerana itu menjadi sebahagian tugas pekerja melambai orang ramai dengan gaya masing-masing. Gaya mereka bersaing melambai dan lantunan suara untuk memikat pelanggan begitu menghiburkan. Biasanya ramai yang singgah, ada juga yang jalan terus.


Bezanya kini tiada lagi lambaian pekerja kedai. Orang ramai datang sendiri. Sajian juga mirip ala nasi kandar. Pengusaha dan pekerjanya bukan lagi generasi awal dalam era 60-an dan 70-an, tetapi generasi kedua atau ketiga meneruskan perniagaan.


Menelusuri Teluk Intan pasti akan menembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah menikmati keenakan nasi lambai. Kerana itu jika berkesempatan mereka akan kembali ke kedai tersebut. Sambil menjamu selera sambil mengenang kisah lalu walau pun suasananya sudah berubah.


Penulis teringat pada tahun 60-an dan 70-an, harga makanan di kedai nasi lambai adalah murah. Sepinggan nasi dengan seketul kecil ikan kari, biasanya ikan bawal, dengan dua tiga hiris timun, kuah dan secebis sambal hanya berharga lima kupang (50 sen).


Jika hendak menikmati lauk ayam atau daging, harganya mahal sedikit, iaitu lapan kupang (80 sen). Air kosong percuma. Tetapi jika hendak minum air sirap, harganya sekupang (10 sen) satu gelas.


Harga sekarang tentulah jauh berbeza berbanding dahulu. Sekarang jika lauk ayam boleh mencecah dalam lingkungan RM8 sepinggan atau lebih. Lauk ikan pula kalau beli bawa balik seketul harganya dalam RM3.80 sen.


Pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dalam tahun 60-an dan 70-an, kedai nasi lambai sentiasa sesak dengan pelanggan. Teluk Intan sendiri dipenuhi pengunjung dari kawasan sekitar seperti Bagan Datuk, Bidor dan Kampar untuk menonton wayang.


Ini kerana di Teluk Intan sahaja ada panggung wayang. Jika hendak menonton wayang pada hari perayaan atau sebarang waktu lain, kena pergi ke Teluk Intan. Cuma jumlah pengunjung pada hari-hari biasa tidaklah seramai ketika hari raya yang berganda-ganda jumlahnya.


Pawagam Rex dan Capitol milik Shaw Brothers dan pawagam Cathay milik Pertubuhan Cathay adalah tempat orang ramai bersantai meraikan Aidilfitri menonton filem Melayu atau Hindustan.

Pemandangan dari udara bandar Teluk Intan yang dikelilingi Sungai Perak.
Foto: Wikipedia


Pawagam Rex bisanya menayangkan filem Melayu, pawagam Capitol cerita Hindustan. Pawagam Cathay pula ada kala menayangkan filem Melayu, ada kala filem Hidustan. Pendek kata tayangan filem pada hari raya bersesuaian dengan minat orang Melayu yang menyukai filem-filem Melayu dan Hindustan.


Seiring dengan ramainya pengunjung, kedai nasi lambai juga dengan sendirinya dipenuhi orang ramai. Ketika ini pekerja tidak perlu terlalu bekerja keras melambai pelanggan. Pelanggan yang akan menyerbu! Ramai yang terpaksa menunggu untuk mendapat tempat duduk.


Cuma sekarang kemeriahan seperti tahun 60-an dan 70-an sudah tiada, walau pun ketika hari raya. Tiada lagi orang ramai berpusu-pusu seperti dahulu untuk menonton wayang, sehingga tangan boleh terluka kerana berebut membeli tiket.


Suasana kini sudah berbeza. Pawagam sunyi, tidak meriah seperti dahulu. Bangunan pawagam masih wujud dan beroperasi, tetapi sudah uzur dan hilang seri tidak seperti zaman kegemilangannya dahulu.


Tetapi nasi lambai tetap popular menjadi tumpuan ramai. Kepada yang pernah menjamu selera di sini, datanglah sekali sekala mengimbau kenangan lalu. Kepada yang belum mencuba, jangan lupa kunjungi kedai nasi lambai Teluk Intan apabila berkesempatan melawat bandar di pinggir Sungai Perak ini.