Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media selepas Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat adalah wajar sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Jelas beliau, hal itu kerana aspek pengurusan ekonomi negara ketika ini berada dalam keadaan terburuk sehingga menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati.

Katanya, sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas daripada rasuah dapat dipilih rakyat sekiranya pilihan raya diadakan.

“Hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada masa ini.

“Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus berpuas hati,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Baca lagi: Bank tak rugi pun jika beri moratorium PMKS – Muhyiddin

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah membaca satu laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember 2021.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, kajian itu mendapati 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari.

Tambahnya, 12 peratus rakyat pula menangguh rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

Selain itu, kongsi beliau, kajian oleh Mindshare pula menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, 76 peratus daripada kumpulan itu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

“Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

“Saya telah menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan.

“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini.

“Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN berkat isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet.

Namun, katanya, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu tersebut.

“Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay.

“Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.

“Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion.

“Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal.

Is this okay? No, it is not okay. Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram