rasuah atau hadiah?

Dari Abu Hurairah r.a. Baginda s.a.w. dengan jelas menyatakan

“Janganlah kalian bertahassus, jangan bertajassus, jangan saling bersaing, jangan saling dengki-mendengki, jangan saling membenci, jangan saling bermusuh, dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara” (HR Bukhari & Muslim)

Keliru! Rasuah atau hadiah? Situasi itu menyebabkan wujudnya dua aliran kumpulan yang berbeza dari sudut pandangan dan kepercayaan. Lebih membarah lagi, berlaku perselisihan dan sikap permusuhan sesama umat Islam yang sudah pastinya menguntungkan pihak  lain.

Bahkan dalam surah al-Hujurat: 10 juga Allah telah mengingatkan hamba Nya agar berusaha menjaga silaturahim. Mafhum Nya,

Sesungguhnya hanya kaum Muslimin yang bersaudara. Kerana itu berusahalah memperbaiki hubungan antara kedua-dua saudara kalian.”

Tidak dinafikan setiap orang punyai pandangan dan pendapat yang berbeza dalam menilai sesuatu isu. Walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan menyatakan, wang yang diterima merupakan derma hasil daripada siasatan mereka, namun kenyataan ini tidak dipersetujui oleh sebahagian besar rakyat. Sementelah lagi, ia melibatkan jumlah yang sangat besar masuk dalam akaun individu tertentu.

Dalam masa yang sama juga, isu ini mendapat respons dari salah seorang agamawan terkenal. Menurutnya wang derma yang diperoleh itu adalah salah satu bentuk rasuah jika dihulurkan atas kapasiti kedudukan sebuah negara atau organisasi.

“Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, itu rasuah. Kesan itu sama ada secara tidak langsung. Walau bagaimanapun jika pemberian itu bukan kerana kedudukan atau untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah”

Ternyata situasi ini menggusarkan masyarakat awam hingga wujud pelbagai persepsi dan pandangan, sehingga ada yang melihat seolah-olah sistem perundangan di Malaysia tidak dijalankan dengan telus. Dari itu juga muncul ramai ulama-ulama ‘mi segera’ yang mengeluarkan fatwa hanya bersandarkan persepsi dan emosi tanpa merujuk pada perspektif syarak secara mendalam.

Sukar menentukan sama ada wang tersebut adalah rasuah atau tidak. Ia menjadi pokok perdebatan hangat yang timbul antara kem A dan kem B. Masing-masing jitu mempertahankan pandangan dan pendapat kerana keduanya mempunyai hujah tersendiri.

Walau bagaimanapun memetik pandangan dari Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid, perkara yang melibatkan pemberian sama ada hadiah, derma, atau apa sahaja, ia perlu dilihat dari dua perspektif yang berbeza walaupun perbuatannya sama. Jika dilihat daripada perspektif undang-undang, ia boleh jadi rasuah. Namun jika seorang budayawan melihat daripada perspektif budaya pula, ia bukanlah rasuah tetapi hadiah.

Dalam masa yang sama ujarnya, hadiah dan rasuah perlu ada garis sempadan yang perlu jelas pada kita. Jika terlalu ekstremis pada undang-undang, ia akan dikatakan, “apa saja berbentuk hadiah kecuali berasaskan kasih sayang keluarga, itu adalah rasuah.”

Sebaliknya jika ia ekstremis ke arah budaya pula maka akan dikata, “apa sahaja bentuk hadiah itu bukan rasuah. Ini kerana hadiah berasaskan kepada kasih sayang. Ketua kasih kepada anak buah, dan anak buah kasih pada ketua maka diberinyalah hadiah.”

Orang yang ekstremis dalam mentafsir kalau beri dengan tujuan dan maksud tertentu, itu adalah rasuah. Tapi bagi seorang budayawan yang melihat dari budaya hidup bermasyarakat, pemberian atau layanan yang baik terhadap seseorang itu adalah sifat mulia yang dituntut dalam Islam.

Jadi garis sempadan itu sangat luas yang mana terdedah kepada pelbagai interpretasi. Dan, di dalam memberi interpretasi itu pula adanya perbezaan pendapat yang sangat luas. Oleh itu, seseorang yang mahu menentukan sikap dirinya sama ada rasuah atau tidak, akan terjebak dengan keadaan ini. Ia ingin mengikut tafsiran siapa, atau ia hendak tafsirkan secara konservatif atau liberal?

Justeru itu, kita lihat bagi seseorang yang sudah mempunyai gaji kemudian menerima hadiah. Adakah itu rasuah? Persoalan itu hanya boleh ditentukan oleh mereka yang terlibat sahaja. Jika ia seorang sufi yang diketahui mempunyai ilmu dan amal yang hebat, dikatakan itu rasuah. Tetapi jika ia hanya seorang biasa yang tidak ketahuan amal dan ilmunya, tidak wajar ia memberi hukuman sebegitu.

Sama ada anda seorang ahli perundangan, budayawan, ahli politik, ahli perniagaan atau siapa sahaja, pandangan tersebut semuanya berbeza perspektif. Ia dilihat kepada kepentingan masing-masing. Dan kerana itu saya tidak mempunyai wibawa untuk menyatakan secara hitam putih yang derma dan hadiah itu adalah rasuah, kerana hanya bersandarkan pada tafsiran semata-mata.

“Interpretasi rasuah tertakluk kepada dari sudut mana ia dilihat. Dari sudut perundangan atau budaya. Merujuk pada perundangan, jika SPRM kata itu rasuah, maka rasuahlah ia. Tetapi jika dikatakan bukan rasuah dan ia jujur dalam kenyataannya maka kita juga harus akur,” ulas Dr. Mahmood Zuhdi.

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare