Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN memberi jaminan akan memastikan warga Malaysia yang terkandas di beberapa negara ekoran sindiket penipuan kerja dibawa pulang dengan selamat.

Jaminan itu disuarakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan keprihatinan dan mengambil serius nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara termasuk Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja itu.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara itu seperti yang disuarakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurut Perdana Menteri, usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa.

“Ia bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: IPD Bentong siasat dakwaan sindiket culik di Genting Highland

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” jelas beliau.

Terdahulu, Abd Latiff dalam sidang media memaklumkan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Ia selepas beliau mengadkaan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Musa dan Hishamuddin di pejabatnya, hari ini.

Media semalam melaporkan MHO memohon kerajaan membantu dan campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja membabitkan warga Malaysia yang terkandas di luar negara melalui rundingan di peringkat ASEAN.

Hisamuddin dilaporkan berkata, sindiket itu berbeza dengan yang lain kerana ia disyaki dilindungi pihak berkuasa di negara terbabit selepas ada mangsa yang berjaya melarikan diri dan membuat laporan di balai polis, dihantar semula kepada ejen sindiket terbabit.

Berdasarkan rekod, seramai 16 orang rakyat Malaysia di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar, yang menjadi mangsa sindiket berjaya diselamatkan.

Sementara itu, bilangan yang sedang dijejaki pula seramai 12 orang di Thailand, 28 di Laos dan 54 di Myanmar.

Semalam, lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja diselamatkan dan pulang ke tanah air.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram