Tangkap layar rakaman memaparkan aksi pemandu kereta menghalang mangsa di Jalan Suakasih.

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pemandu kereta melakukan halangan secara jenayah terhadap sebuah lagi kereta di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah pasar raya di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pagi kelmarin.

Beliau berkata, siasatan mendapati pengadu tidak mengenali suspek yang cuba melakukan halangan dengan menakutkan mangsa dan keluarga secara jenayah di atas jalan raya.

“Suspek bertindak menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti atas alasan yang tidak dapat dipastikan sehingga mendatangkan bahaya kepada mangsa dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa terus memandu meninggalkan kereta suspek daripada bertembung semula.

Mohd Zaid berkata, kes kini disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di talian 011-56566511.