PENYANYI terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi keadaan kesihatannya yang berdepan dengan masalah Bronkitis.

Menerusi entri di Instagram Story miliknya, penyanyi Aku Bidadari Syurgam itu terpaksa ‘merelakan’ dirinya untuk menjalani ujian imbasan X-ray disebabkan sudah tidak tahan menanggung kesakitan.

“Baik. kita X-ray ya. Tak tahan dah…batuk-batuk tengah malam,” tulisnya ringkas.

Ibu kepada Siti Afiyah dan Muhammad Afwa itu bagaimanapun tidak membiarkan peminatnya terus berteka-teki dengan hasil keputusan ujian imabasan X-ray yang dilakukan.

“Mild bronkitis kesan daripada Covid-19. Kena guna inhaler ya.

“Semoga cepat sembuh…Amin,” kongsinya lagi.

Menerusi perkongsian sama, Siti yang pernah dijangkiti wabak Covid-19 pada Ogos tahun lalu itu turut berkongsi ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pakar perubatan.

Untuk info, Bronkitis ialah keradangan pada salur udara besar yang mengalirkan udara daari trake ke bahagian distal parenkima paru-paru.

Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu akut dan kronik.

Bronkitis akut adalah keradangan jangka pendek yang menyebabkan saluran pernafasan dalam paru-paru membengkak dan dipenuhi lendir.

Manakala, Bronkitis kronik pula ialah keradangan berterusan pada saluran pernafasan.