ERA cemerlang Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih, Kim Pan Gon diteruskan apabila skuad kebangsaan berjaya menundukkan Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi Piala Raja Thailand ke-48 di Chiangmai, sebentar tadi.

Perlawanan berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi pantas dengan berterusan berbalas serangan.

Gajah Perang yang berada pada ranking ke-111 dunia sentiasa mengancam bahagian pertahanan Harimau Malaya bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat kapten, Chanathip Songkrasin selepas mengalami kecederaan.

Ketiadaan perancang utama Thailand itu sedikit sebanyak merencatkan pergerakan serangan pasukan tersebut.

Walaupun menghuni ranking ke-148 dunia, namun Malaysia ternyata mampu memberikan tentangan sengit kepada Thailand di halaman sendiri.

Harimau Malaya akhirnya berjaya mendahului perlawanan selepas pertahanan Johor Darul Ta’zim, La’Vere Corbin-Ong bijak menyempurnakan peluang pada minit ke-31.

Corbin-Ong bijak melepasi kawalan Supachok Sarachat hasil hantaran Safawi Rasid untuk menewaskan Kampol Pathomakkakul di gawang Thailand.

Malaysia berpeluang menambah gol kedua pada penghujung babak pertama namun tandukan kapten, Dion Cools tinggi melewati palang.

Kedua-dua pasukan terus menampilkan aksi menyerang sebaik mulanya separuh kedua namun terus menemui jalan buntu.

Corbin-Ong menjadi wira negara selepas menjaringkan satu gol dan menyempurnakan sepakan penalti untuk membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand. GAMBAR: FB FAM

Baca artikel berkaitan: Piala Raja Thailand: Pan Gon jadikan persediaan Malaysia ke Piala AFF, Piala Asia 2023

Malaysia berpeluang menggandakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi tandukan cantik Darren Lok tetapi berjaya ditepis Kampol.

Gajah Perang turut beberapa kali mengasak kubu pasukan kebangsaan namun penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed beraksi cemerlang menggagalkan peluang demi peluang tuan rumah.

Usaha berterusan Thailand membuahkan hasil selepas pertahanan tengah, Pansa Hemviboon menanduk masuk gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan dan memaksa penentuan sepakan penalti.

Memasuki penentuan sepakan penalti, empat pengambil sepakan penalti negara dimulai Cools, Syafiq Ahmad, Declan Lambert dan Matthew Davies menyempurnakan sepakan masing-masing.

Ahmad Syihan meneruskan kecemerlangan selepas berjaya menggagalkan sepakan keempat Thailand yang diambil Supachok.

Corbin-Ong kemudiannya menjadi wira skuad kebangsaan selepas tenang meledak sepakan penalti terakhir menewaskan Kampol.

Malaysia yang pernah menjadi juara empat kali Piala Raja Thailand akan menentang Tajikistan dalam perlawanan akhir, Ahad ini.

Tajikistan yang berada di kedudukan 109 dunia mengejutkan Trinidad and Tobago dalam satu lagi saingan pembuka tirai Piala Raja Thailand itu.

Trinidad and Tobago bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Judah Gracia pada minit ke-27 dan bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun, Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammadzhon Rahimov pada minit ke-47 sebelum Ekhsoni Pandzhshanbe menembusi gawang Trinidad and Tobago pada minit ke-75.

Thailand dan Trinidad and Tobago akan membuat perhitungan bagi merebut tempat ketiga serta keempat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram