TAHUKAH anda, kebanyakan karya-karya tulisan besar dan dikenali lahir dari dalam penjara. Ia tercetus daripada gerakan fikiran dan jiwa penulisnya lalu melahirkan gagasan besar yang menggoncang sejarah.

Cuba bayangkan seandainya Adolf Hitler tidak dipenjarakan pada tahun 1924, mungkin tidak akan muncul Nazi yang menakluki Eropah dan membantai jutaan kaum Yahudi.

Sewaktu berada dalam penjara setelah kudeta pimpinannya gagal, Hitler menulis karya besarnya, Mein Kampf yang akhirnya menjadi buku panduan untuk Jerman menjadi kuasa terbesar semasa Perang Dunia Ke-2.

Menurut seorang ahli psikologi, James W. Pennebaker, ketika manusia berdepan dengan cabaran getir dan pahit kehidupan, mereka akan menjadi lebih kreatif dan melahirkan ‘sesuatu’ yang luar biasa dari fikiran dan jiwa mereka. Apatah lagi jika cabaran itu diharunginya ketika berada di penjara.

Mungkin saja fizikal mereka terseksa namun jiwa dan minda mereka terus hidup dan menerangi orang lain. Begitulah terhasilnya tulisan-tulisan dalam penjara ini yang banyak memberi impak kepada pembaca.

Karya-karya Pradmoedya Ananta Toer antara yang menyentuh hati yang mengangkat tema martabat kemanusiaan, kemerdekaan dan keadilan. Sebahagian besar karya-karya Pradmoedya dihasilkan di dalam penjara.

Karya-karya besarnya seperti Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca ditulisnya ketika di penjara Pulau Buru.

Mein Kampf, karya Hitler yang ditulis semasa di penjara.
Banyak karya besat Pradmoedya Ananta Toer ditulis semasa beliau dalam penjara.

Ramai ahli pemikir Indonesia yang menulis semasa berada di penjara. Antaranya Mohammad Hatta ketika di penjara Glodok tahun 1934. Beliau sempat menulis, antaranya menghasilkan buku Krisis Ekonomi dan Kapitalisme.

Pada awalnya Hatta ragu sama ada buku tersebut dapat disempurnakan kerana peraturan penjara yang tidak membenarkan kertas dibawa masuk. Namun, akhirnya buku itu dapat diterbitkan pada tahun 1934.

Hatta kemudian semakin aktif menulis ketika dia dibuang ke Digul. Di situlah Hatta menulis karya yang cukup sinonim dengannya iaitu Alam Fikiran Yunani.

Mohammad Hatta.

Begitu juga dengan Tan Malaka. Dalam biografinya berjudul Tan Malaka: Dari Penjara ke Penjara, Tan menceritakan kesukarannya menulis karya besarnya, Madilog yang ditulis secara sembunyi-sembunyi yang akhirnya mengakibatkannya kurang rujukan ke perpustakaan.

Pemikir dan pemimpin gerakan Islam tersohor, Sayyid Quthb pernah mengatakan berada di penjara sebenarnya adalah ‘masa rehat’ untuk kita menulis ‘sesuatu yang besar’.

Di penjara Mesir, Sayyid Quthb menulis karya tafsirnya yang cukup berpengaruh, Tafsir Fi Zhilalil Quran yang disebut oleh pengkritik buku sebagai ‘the most remarkable works of prison literature ever produced‘.

Sayyid Quthb menyelesaikan buku itu sebelum dihukum gantung oleh mantan Presiden Gamal Abdul Nasser pada tahun 1966. Kitab tafsir ini ditulis dengan mengandalkan daya hafal.

Situasi buruk dan penyeksaan dalam penjara tidak menghalangi Sayyid Quthb untuk menulis. Pernah suatu ketika, dia disumbat dalam sebuah sel bersama 40 orang penjenayah. Tetapi dengan menyeludup kertas masuk dan keluar penjara, Sayyid Quthb dapat terus menulis.

Sayyid Quthb menghasilkan buku yang dianggap sebagai karya terhebat dari penjara.

Penulis feminis Mesir, Nawal El Saadawi pula dipenjarakan kerana mengkritik pemerintahan Anwar Sadat. Di penjara, Saadawi menulis dengan menggunakan kertas tandas dan sebatang pensel.

Bebas dari penjara, Saadawi menghasilkan Memoir from Women’s Prison. Dalam buku itu, ia menceritakan ketempangan sosial ekonomi dan gender yang menyebabkannya disumbat ke dalam penjara.

Di Iraq, pemikir besar Syiah, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr juga melalui pengalaman yang sama dengan Sayyid Quthb di mana ia dipenjarakan oleh rejim pemerintahan Saddam ketika itu, sehinggalah dibunuh dengan kejam di penjara.

Di dalam penjara Baqir Sadr menulis empat jilid buku ekonomi bertajuk Iqtisadunna yang membahaskan secara mendalam persoalan-persoalan ekonomi moden dan bagaimana sistem ekonomi Islam mampu memberikan jawapan dalam konteks ekonomi kapitalis.

Nawar El Saadawi.
Ayatullah Muhammad Baqir.

Di Amerika Syarikat pula, seorang wartawan Afro-Amerika, Mumia Abu Jamal dihukum mati pada tahun 1982 kerana tuduhan membunuh seorang anggota polis.

Bertahun-tahun dia berada di penjara walaupun tiada bukti kukuh mengaitkannya sebagai bersalah. Mumia menjadi lambang gerakan antirasis di Amerika. Selama di penjara Pennsylvania, Mumia menghasilkan tulisan yang akhirnya dibukukan dalam dua buah buku, Live From Death Row dan All Things Censored.

Tulisan-tulisannya dianggap setaraf dengan tulisan Marthin Luther King Jr. yang menulis sewaktu di penjara bertajuk Letters From Birmingham Jail.

Bagi pembaca buku-buku psikologi pasti kenal nama Viktor Frankl, seorang berbangsa Yahudi yang diseksa di dalam penjara maut di zaman pemerintahan Nazi.

Frankl terselamat dari penjara maut dengan berpura-pura mati dan Frankl berteori bahawa sesungguhnya seseorang dapat memutuskan bagaimana suatu keadaan akan mempengaruhinya dirinya. Bukunya, Man’s Search for Meaning berdasarkan pengalaman di penjara menjadi sumbangan penting kepada ilmu psikologi.

Penjara memang sebuah tempat yang cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis. Kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam kesepian dan keterasingan. Keadaan inilah yang memberi jiwa dan nilai tambah dalam penulisannya.

Mumia Abu Jamal.
Viktor Frankl.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram