Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

LAPORAN perubatan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya boleh dikemukakan pada mahkamah sekiranya diarahkan, tidak boleh didedahkan kepada umum.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebook beliau.

Menurut Dr. Noor Hisham, penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan ke atas Najib telah dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata beliau, laporan perubatan akan dikemukakan atas perintah mahkamah.

Namun begitu, beliau berkata, KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (sekiranya diarahkan mahkamah),” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham memaklumkan Najib telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susukan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Baca artikel berkaitan: “Tiada layanan istimewa untuk Najib” – Tegas Khairy

Jelas beliau, perkara tersebut adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.

Semalam, Jabatan Penjara mengesahkan, Najib sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) pada 19 September lalu selepas dirujuk pihak HKL.

Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), Najib dihantar ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan selepas perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Jabatan itu turut dilaporkan berkata, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Baru-baru ini, timbul dakwaan dalam media sosial bahawa Najib yang dirujuk dengan nama kod Merpati diberi layanan istimewa.

Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa bekas Perdana Menteri itu ke HRC bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Ekoran tular dakwaan itu, rata-rata netizen menggesa Jabatan Penjara supaya bersikap telus dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara melibatkan dakwaan tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram