PENGASAS dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., Ali Hassan Mohd. Hassan merupakan antara tujuh individu dilantik sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGASAS dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., Ali Hassan Mohd. Hassan merupakan antara tujuh individu dilantik sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pelantikan Ali Hassan yang telah memulakan perniagaan kedai barangan sukan Al-Ikhsan itu sejak 1993 dipersetujui secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi tempoh dua tahun.

Pengerusi Al-Ikhsan itu juga merupakan empat ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, dua daripada tujuh individu itu merupakan lantikan semula sebagai ahli PPPR manakala seorang lagi telah dilantik pada 1 April lalu.

Menurut SPRM, kesemua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang.

Katanya, ia diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

“Antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

“Selain itu, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua tokoh yang dilantik semula adalah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah yang juga Pengerusi PPPR dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

Selain Ali Hassan, tiga lagi individu dilantik sebagai ahli PPPR baharu adalah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail; Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datin Yasmin Ahmad Merican dan Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Baca artikel berkaitan: SPRM tahan pengarah universiti awam di Melaka terima suapan kereta

Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din telah dilantik pada 1 April lalu.

Tempoh pelantikan ahli PPPR itu berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu sehingga 30 Jun 2024.

Surat cara pelantikan ahli PPPR itu telah disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hari ini.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan PPPR juga berperanan dalam menasihati suruhanjaya itu tentang amalan-amalan baik dalam bidang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.

Jelas SPRM, panel tersebut juga menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.

“PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan SPRM.

“PPPR turut berperanan mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada LPPR,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram