Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir bagi mendengar keputusan 40 pertuduhan kes rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini. - GAMBAR FAIL: Abd Razak Aid

AHLI Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.

Beliau yang juga Presiden UMNO hadir bagi mendengar keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pagi ini.

Kehadirannya turut disambut puluhan penyokong yang mula berkumpul di Mahkamah Tinggi Shah Alam seawal pukul 7.45 pagi lagi.

Memetik laporan Astro Awani, kumpulan penyokong yang difahamkan dari Terengganu turut tiba dengan dua buah bas kira-kira pukul 8.15 pagi.

Penyokong yang majoritinya memakai baju berwarna putih turut membawa sepanduk dengan tulisan ‘Solidariti 4 AZH’.

Pada masa sama, kesemua penyokong itu juga melaungkan ‘Hidup Presiden’ dan beberapa kata semangat lain buat Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut dilihat sempat bersalaman dengan penyokong sebelum memasuki perkarangan mahkamah.

Baca artikel berkaitan: Rasuah sistem VLN: Nasib Ahmad Zahid ditentukan hari ini

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah turut dilihat hadir memberikan sokongan.

Tumpuan akan terarah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa pagi ini untuk keputusannya sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri itu membela diri atau dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem VLN.

Hakim Mohd Yazid dijangka mengumumkan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi ini.

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

Sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperintah membela diri, mahkamah akan mendengar keterangan daripadanya dan saksi pembelaan lain.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lepas.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram